Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Detik Gempa Kuat Gegar Selatan Mexico, Amaran Tsunami Dikeluarkan Seketika

Gempa Kuat Gegar Selatan Mexico
Kredit: AFP

Detik Gempa Kuat Gegar Selatan Mexico, Amaran Tsunami Dikeluarkan Seketika

Gempa bumi bermagnitud 7.3 melanda selatan Mexico dan beberapa kawasan di Amerika Tengah pada Jumaat.

Memetik laporan AFP, amaran tsunami turut dikeluarkan seketika bagi beberapa kawasan di sepanjang pantai Pasifik.

Penduduk merasai gegaran kuat di negeri Chiapas dan Oaxaca, Mexico serta di Guatemala dan El Salvador, menurut wartawan AFP.

Setakat ini, pihak berkuasa belum melaporkan sebarang kemalangan jiwa.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) memaklumkan pusat gempa terletak di luar pesisir, kira-kira 48 kilometer dari bandar Aquiles Serdan, pada kedalaman 18 kilometer.

Perkhidmatan seismologi Mexico merekodkan lebih 30 gegaran susulan dengan pelbagai magnitud, termasuk yang mencecah 6.8.

Kredit: AFP

Kerajaan Amerika Syarikat sebelum ini mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai Pasifik di Mexico dan Guatemala, namun kemudian memaklumkan bahawa ancaman tersebut telah berakhir.

Di Tuxtla Gutierrez, ibu negeri Chiapas, suasana panik berlaku di beberapa bangunan tinggi di bandar itu.

“Keadaan di atas sana sangat menakutkan. Ada orang yang menangis,” kata Araceli Sanchez, seorang kakitangan kerajaan yang berada di sebuah bangunan 15 tingkat.

Beberapa video yang tular di media sosial juga menyaksikan detik-detik ketika gempa itu berlaku.

Sementara itu, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum berkata beliau telah menghubungi gabenor negeri-negeri yang terjejas, manakala Setiausaha Tentera Laut, Raymundo Morales memberitahu pemberita bahawa tiada kesan serius dilaporkan.

Di Guatemala City, beberapa bangunan dikosongkan, manakala sesi persekolahan dibatalkan di beberapa kawasan berhampiran sempadan Mexico.

Untuk pengetahuan, Mexico City yang pernah terjejas teruk akibat dua gempa bumi kuat pada 1985 dan 2017 terletak lebih 800 kilometer dari pusat gempa.

Bagaimanapun, beberapa pengguna media sosial mendakwa turut merasai gegaran tersebut.

Beberapa bangunan tinggi turut dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Mexico dan Amerika Tengah terletak di atas beberapa plat tektonik yang berbeza. Pergerakan plat-plat berkenaan menjadikan rantau itu antara kawasan paling kerap dilanda gempa bumi di dunia.