Detik Replika Patung Liberty Tumbang Akibat Ribut Kuat Di Brazil
Baru-baru ini tular satu video yang menyaksikan detik-detik dramatik replika Patung Liberty setinggi 24 meter tumbang ketika ribut kuat di Brazil.
Tugu peringatan itu yang dipasang pada tahun 2020 terletak di bandar Guaiba, Rio Grande do Sul.
Pihak berkuasa pertahanan awam Brazil, Defesa Civil berkata angin mencapai kelajuan 55 batu sejam dalam kejadian ribut yang berlaku pada 15 Disember, lapor Metro UK.
Bagaimanapun, tapak konkrit setinggi 11 meter itu kekal utuh.
Dalam pada itu, rakaman kejadian yang nampaknya telah diambil dari bangunan berdekatan menunjukkan replika itu condong ke hadapan ketika ia mula tumbang menyembah ke bumi.
Sebuah kereta putih yang meletakkan kenderaan di kawasan parkir di situ turut menarik perhatian. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kereta itu mengalami kerosakan atau tidak selepas lengan kanan replika itu dilihat tumbang sangat hampir dengannya.
BACA JUGA: Pokok Tumbang Bongkar Penemuan Tulang Manusia Dalam Batang Pokok
Tiada kecederaan dilaporkan dan kawasan itu telah ditutup bagi membolehkan kakitangan dari kedai serbaneka Havan mengalihkan replika terbabit.
Sementara itu, serpihan daripada replika itu telah dibersihkan beberapa jam selepas ia tumbang.
Syarikat itu berkata replika tersebut memenuhi piawaian teknikal merentasi replika di seluruh negara. Tambahnya, siasatan dalaman telah dilancarkan.
Video yang menyaksikan detik kejadian itu telah mendapat jutaan tontonan di media sosial.
Seorang pengguna X berkata struktur tersebut direka bentuk dengan margin keselamatan yang besar.
“Apabila kejadian itu berlaku, ia bermakna kelajuan angin telah melepasi ambang batas yang tidak dijangka,” katanya.
Memetik laporan Metro UK, Rio Grande do Sul mengalami cuaca buruk pada Isnin ketiks replika itu tumbang.
Hujan batu dilaporkan di Tio Hugo menakala bumbung di Passo Fundo, Santa Cruz do Sul dan Vera Cruz rosak. Bagaimanapun, pihak berkuasa berkata tiada gangguan bekalan elektrik berlaku ketika itu.
Replika Patung Liberty digunakan oleh Havan di seluruh negara dan keruntuhan monumen di Guaiba bukan pertama kali berlaku.
Salah satu replika itu telah ditumbangkan di Capao da Canoa semasa siklon pada tahun 2021 apabila kelajuan angin mencecah antara 40 batu sejam dan 50 batu sejam.
Sumber: Metro UK
