Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hari ini, Kangar dikenali sebagai bandar utama yang sibuk dengan urusan pentadbiran, perniagaan dan kehidupan moden.
Namun di sebalik deretan bangunan baharu, jalan raya yang sesak dan pusat komersial yang semakin berkembang, ramai mungkin tidak tahu bahawa kawasan ini sebenarnya menyimpan sejarah panjang yang menjadi asas kepada pembentukan negeri Perlis.
Jika dilihat kembali sekitar tahun 1939, kawasan yang kini menempatkan Balai Polis lama dan bekas Pejabat Telekom di Jalan Besar merupakan pusat pentadbiran utama kerajaan negeri.
Di situlah berdirinya bangunan pentadbiran yang menempatkan Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Perbendaharaan, Pejabat Raja Perlis, Pejabat Penasihat British serta Pejabat Syarikat Kerjasama.

Malah, bangunan Mahkamah dan Pejabat Kastam Negeri juga pernah beroperasi di kawasan sama, memainkan peranan besar dalam urusan pentadbiran dan kutipan hasil negeri ketika itu.
Lebih menarik, Kangar bukan sekadar pusat pentadbiran, malah pernah menjadi nadi perdagangan penting yang dihubungkan melalui Sungai Perlis sehingga ke Kuala Perlis.
Sejak abad ke-16 lagi, kawasan ini menjadi tumpuan pedagang luar dari China, Arab, Gujerat dan India yang membawa pelbagai barangan seperti rempah-ratus, tekstil serta hasil bumi tempatan.
Ketika era pentadbiran British, Pejabat Kastam di Kangar turut memainkan peranan penting dalam mengurus kutipan cukai perdagangan termasuk hasil jualan candu yang ketika itu dibenarkan.
Seiring peredaran masa, pembangunan infrastruktur seperti jalan berturap, Jambatan Raja Syed Alwi serta pasar besar di tapak Majlis Perbandaran Kangar hari ini menjadi bukti bagaimana Kangar berubah daripada sebuah pelabuhan kecil kepada bandar moden.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Negeri, Dato Yazid Mat, kawasan antara bangunan MPK hingga ke Hotel Ban Chong dianggap sebagai titik awal kewujudan bandar Kangar.
Katanya, lokasi itu menjadi tapak terawal pentadbiran negeri dengan kewujudan Pejabat Tanah, Pejabat Kastam serta pejabat pentadbiran Raja dan Penasihat British.
Beliau berkata, kawasan bersejarah itu wajar dijadikan mercu tanda sejarah bandar Kangar bagi mengekalkan warisan serta identiti negeri Perlis Indera Kayangan.
Bagi generasi hari ini, mungkin sukar membayangkan bahawa di kawasan yang kini sibuk dengan kenderaan dan bangunan moden, pernah berdiri nadi utama yang membentuk perjalanan sejarah Perlis.
Kadangkala, sejarah paling besar bermula di tempat yang paling biasa kita lalui setiap hari.