Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Di Sebalik Pembinaan KLCC: Menara Yang Ramai Kata Mustahil, Kini Lambang Kehebatan Malaysia

KLCC
Proses pembinaan Menara Berkembar Petronas (KLCC)

Di Sebalik Pembinaan KLCC: Menara Yang Ramai Kata Mustahil, Kini Lambang Kehebatan Malaysia

Pernahkah anda terfikir bagaimana dua menara berkembar setinggi 452 meter mampu berdiri megah di tengah-tengah Kuala Lumpur, sedangkan tapaknya suatu ketika dahulu hanyalah kawasan bekas lombong yang lembut dan dipenuhi tanah selut?

Hakikatnya, pembinaan Menara Berkembar Petronas atau KLCC bukan sekadar projek pembinaan biasa.

Ia merupakan antara projek kejuruteraan paling mencabar pernah dilaksanakan di dunia yang menuntut ketelitian luar biasa, keberanian membuat keputusan dan keyakinan bahawa Malaysia juga mampu berdiri sebaris dengan negara maju.

Semuanya bermula daripada visi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Malaysia memiliki mercu tanda bertaraf dunia sebagai simbol kemajuan negara.

Pada ketika itu, ramai mempersoalkan kemampuan Malaysia membina pencakar langit bertaraf dunia. Bangunan tertinggi negara ketika itu hanyalah Menara Dayabumi setinggi 157 meter, jauh lebih rendah berbanding pencakar langit terkenal dunia seperti Sears Tower di Amerika Syarikat.

Namun bagi Tun Dr Mahathir, Malaysia bukan negara yang perlu sentiasa berada di belakang.

Beliau kemudian mendapatkan khidmat arkitek terkenal dunia, César Pelli, namun beberapa cadangan awal ditolak kerana tidak mencerminkan identiti negara dan nilai Islam.

Akhirnya, lahirlah reka bentuk ikonik berasaskan geometri Islam iaitu gabungan bintang lapan bucu dengan bulatan yang bukan sahaja menampilkan identiti Malaysia, malah mengoptimumkan ruang lantai bangunan.

Tapak Bekas Lombong Jadi Cabaran Pertama

Cabaran sebenar bermula apabila tapak pembinaan didapati berada di atas tanah bekas lombong yang sangat lembut.

Hasil kajian tanah mendapati lokasi asal Menara 1 tidak cukup stabil untuk menampung struktur seberat itu.

Penyelesaiannya bukan mudah. Kedudukan menara terpaksa dialihkan beberapa meter, manakala cerucuk sedalam lebih 120 meter dipasang bagi memastikan struktur itu mampu bertahan untuk puluhan tahun.

Asas KLCC Pecah Rekod Dunia

Antara proses paling kritikal ialah pembinaan asas menara.

Lebih 12,000 meter padu konkrit perlu dituang tanpa henti selama kira-kira 54 jam.

Proses itu tidak boleh dihentikan walau sesaat kerana sebarang gangguan boleh menghasilkan cold joint yang menjejaskan kekuatan struktur keseluruhan bangunan.

Pada masa sama, cuaca tropika Malaysia yang sering hujan turut menjadi cabaran besar.

Bagi memastikan kerja menuang konkrit tidak terganggu, kontraktor membina khemah gergasi yang melindungi keseluruhan tapak pembinaan daripada hujan.

Lebih mengagumkan, konkrit yang digunakan juga bukan konkrit biasa.

Campuran khas seperti silika dan superplasticizer digunakan bagi menghasilkan konkrit berkekuatan tinggi yang mampu menampung bangunan melebihi 450 meter.

Ketelitian begitu penting sehingga satu tingkat bangunan pernah dirobohkan selepas gagal memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.

Kredit: portal Chedet

Dua Menara, Dua Negara, Satu Perlumbaan

Menariknya, dua menara KLCC tidak dibina oleh pasukan yang sama.

Menara 1 dibina oleh konsortium Hazama Corporation dari Jepun, manakala Menara 2 disiapkan oleh Samsung C&T dari Korea Selatan.

Kedua-dua pasukan secara tidak langsung bersaing menyiapkan setiap tingkat secepat mungkin.

Bagaimanapun, walaupun berlumba dari segi kelajuan, kedua-dua menara perlu dibina dengan ketepatan luar biasa supaya ketinggiannya sentiasa seimbang.

Samsung akhirnya menyiapkan Menara 2 lebih awal walaupun memulakan kerja sedikit lewat hasil sistem kerja yang sangat efisien dengan operasi 24 jam tanpa henti.

Beza Beberapa Milimeter Pun Boleh Gagal

Ketepatan pembinaan KLCC berada pada tahap yang sangat tinggi.

Margin kesilapan hanyalah beberapa milimeter.

Jika berlaku sedikit sahaja penyimpangan, Skybridge yang menghubungkan kedua-dua menara tidak mungkin dapat dipasang dengan sempurna.

Di bahagian puncak pula, kedua-dua menara sebenarnya direka untuk bergoyang beberapa sentimeter apabila ditiup angin.

Ia bukan menandakan struktur lemah, sebaliknya membolehkan bangunan menyerap daya angin dengan lebih selamat berbanding struktur yang terlalu kaku.

Skybridge Dibina Di Bawah Sebelum Diangkat Ke Langit

Salah satu detik paling mendebarkan dalam pembinaan KLCC ialah pemasangan Skybridge.

Struktur itu terlebih dahulu dibina di atas tanah sebelum diangkat perlahan-lahan ke kedudukan lebih 170 meter dari aras bumi.

Sepanjang proses tersebut, seluruh pasukan pembinaan memberi tumpuan sepenuhnya kerana sebarang kesilapan mampu mengundang risiko besar.

Skybridge itu bukan sekadar ikon pelancongan.

Ia turut berfungsi sebagai laluan kecemasan sekiranya berlaku insiden di salah sebuah menara selain membantu meningkatkan kestabilan kedua-dua bangunan menerusi sistem sambungan khas yang membolehkan jambatan itu bergerak mengikut pergerakan menara.

Mercu Tanda Yang Pernah Dianggap Mustahil

Menjelang tahun 1998, Menara Berkembar Petronas akhirnya siap sepenuhnya dan muncul sebagai bangunan tertinggi di dunia ketika itu sebelum gelaran itu diambil alih pada 2004.

Namun sehingga hari ini, KLCC masih mengekalkan status sebagai menara berkembar tertinggi di dunia.

Di sebalik setiap tingkat yang berdiri megah, tersimpan ribuan jam kerja, ketelitian luar biasa serta keberanian untuk mencuba sesuatu yang belum pernah dilakukan.

KLCC bukan sekadar binaan daripada konkrit dan keluli.

Ia menjadi simbol keyakinan bahawa dengan visi yang jelas, kepakaran serta usaha tanpa henti, sesuatu yang pernah dianggap mustahil akhirnya mampu menjadi kebanggaan sebuah negara.