Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Perdana Menteri boleh datang dan pergi, kerajaan boleh bertukar silih berganti, namun ada satu "wajah lama" yang kekal setia berkhidmat di 10 Downing Street sejak lebih sedekad lalu.
Bukan seorang ahli politik, sebaliknya seekor kucing bernama Larry.
Ketika Andy Burnham secara rasmi mengambil alih jawatan Perdana Menteri United Kingdom (UK) pada Isnin, satu perkara yang tidak berubah ialah kedudukan Larry sebagai Chief Mouser atau Ketua Pemburu Tikus di kediaman rasmi perdana menteri.

Lebih mencuri perhatian, Larry kini bakal berkhidmat di bawah perdana menteri ketujuh sejak tiba di Downing Street pada 2011.
Sepanjang tempoh itu, Larry telah 'mengharungi' enam pertukaran kepimpinan negara bermula daripada David Cameron, Theresa May, Boris Johnson, Liz Truss, Rishi Sunak, Keir Starmer, dan kini menyambut ketibaan Andy Burnham.
Jika ahli politik perlu melalui pilihan raya untuk kekal berkuasa, Larry pula seolah-olah memiliki 'jawatan tetap' yang tidak terjejas walaupun siapa sahaja menjadi penghuni baharu di Downing Street.
Bukan haiwan peliharaan PM
Ramai menyangka Larry ialah kucing milik perdana menteri, namun hakikatnya tidak.
Larry sebenarnya merupakan penjawat awam yang bertugas secara rasmi di Downing Street. Justeru, kedudukannya tidak berubah walaupun berlaku pertukaran kerajaan.
Kucing berusia 19 tahun itu diambil dari Battersea Dogs & Cats Home pada 15 Februari 2011 selepas ditemui sebagai kucing jalanan di London.
Sejak itu, Larry menjadi antara penghuni paling terkenal di Downing Street dan dijaga oleh kakitangan tetap bangunan berkenaan, termasuk urusan makanan serta rawatan veterinar.
Kos penjagaannya juga dilaporkan tidak menggunakan wang pembayar cukai.
Tugas rasmi Larry bukan sekadar tidur
Walaupun sering dilihat bersantai di hadapan pintu ikonik Downing Street, Larry sebenarnya mempunyai senarai tugas rasmi yang unik.
Menurut profil rasminya di laman web kerajaan UK, Larry bertanggungjawab menyambut tetamu, memeriksa tahap keselamatan kawasan sekitar serta "menguji" kualiti sofa dan perabot antik untuk tidur siang.
Tidak hairanlah ramai netizen berseloroh mengatakan Larry merupakan satu-satunya individu di Downing Street yang berjaya mengekalkan jawatan tanpa perlu risau mengenai rombakan Kabinet.
Lebih popular daripada sesetengah ahli politik
Populariti Larry turut berkembang di media sosial apabila sebuah akaun parodi di platform X yang menggunakan identitinya berjaya mengumpulkan lebih 900,000 pengikut.
Walaupun bukan dikendalikan oleh kerajaan Britain, akaun tersebut sering berkongsi perkembangan politik semasa dari sudut pandangan seekor kucing, sekali gus menghiburkan ramai pengguna media sosial.
Selain itu, akaun Instagram rasmi Downing Street juga kerap memuat naik gambar Larry yang sedang 'bertugas' atau berehat di sekitar kediaman rasmi perdana menteri.
'Politician' paling konsisten di Britain?
Pemergian Keir Starmer dan ketibaan Andy Burnham sekali lagi mengingatkan ramai bahawa politik sentiasa berubah.
Namun, di sebalik segala pertukaran kepimpinan itu, Larry masih setia berada di hadapan pintu hitam terkenal Downing Street, menyambut pelawat dan meneruskan tugasnya seperti biasa.
Malah, ramai netizen bergurau mengatakan jika ada satu 'ahli politik' yang benar-benar konsisten dan paling stabil di United Kingdom, gelaran itu mungkin lebih layak diberikan kepada Larry si kucing berbanding mana-mana pemimpin yang pernah menghuni No. 10 Downing Street.