Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dipercayai Terbesar Pernah Direkodkan, Doktor Berjaya Keluarkan Batu Karang Seberat 3.1kg

Batu Karang 3.1kg
Kredit: Trincomalee General Hospital

Doktor di Sri Lanka berjaya mengeluarkan batu karang seberat 3.1 kilogram dalam pundi kencing seorang lelaki.

Memetik BBC News, doktor yang terlibat dalam pembedahan itu percaya ia merupakan batu pundi kencing terbesar pernah direkodkan dan dikeluarkan melalui pembedahan.

Prosedur tersebut dilakukan pada minggu lalu di sebuah hospital di Trincomalee, di timur negara berkenaan.

Pesakit berusia 55 tahun itu pada asalnya dimasukkan ke hospital selepas mengalami strok.

Batu Karang 3.1kg

Namun, ketika menerima rawatan, doktor menemui batu di dalam pundi kencingnya selepas menyedari lelaki tersebut mengalami kesukaran untuk membuang air kecil.

Ketika pembedahan, doktor berjaya mengeluarkan batu berkenaan yang beratnya hampir menyamai berat bayi cukup bulan dan saiznya pula kira-kira sebesar telur burung unta.

“Berdasarkan rekod yang ada, ia merupakan batu pundi kencing terbesar pernah didokumentasikan dan dikeluarkan melalui pembedahan,” kata Dr Prahalahan Balakrishnan yang mengetuai pembedahan itu kepada BBC Sinhala.

Kredit: Trincomalee General Hospital

Tambahnya, pesakit kini berada dalam keadaan yang sangat baik.

Namun, lelaki itu masih berada di hospital dan terus menerima rawatan bagi masalah kesihatan lain yang dialaminya.

Dr Balakrishnan berkata, batu tersebut dipercayai telah berada di dalam pundi kencing pesakit selama kira-kira lima hingga 10 tahun.

Batu karang dalam pundi kencing terbentuk apabila mineral dalam air kencing menjadi kristal lalu membentuk ketulan pepejal.

Ia biasanya berlaku apabila pundi kencing tidak dapat dikosongkan sepenuhnya, menyebabkan air kencing menjadi lebih pekat sebelum bertukar menjadi kristal.

Batu karang yang kecil, sekitar saiz butiran pasir, boleh keluar dengan sendiri. Namun, batu yang lebih besar daripada satu sentimeter sering menghalang aliran air kencing dan memerlukan rawatan perubatan.

Manakala, batu yang berukuran lebih daripada empat sentimeter pula dianggap sebagai batu bersaiz gergasi

Menurut Guinness World Records, rekod rasmi bagi batu pundi kencing terbesar ketika ini ialah batu seberat 1.9 kilogram yang dikeluarkan daripada seorang pesakit di Brazil pada 2003.

Batu tersebut mempunyai berat 1.9 kilogram dan panjang 17.9 sentimeter.

Sementara itu, batu pundi kencing yang dikeluarkan di Sri Lanka minggu lalu mempunyai ukuran kira-kira 17 sentimeter panjang.

Sumber:BBC
Intipati
  • Doktor di Sri Lanka mengeluarkan batu pundi kencing seberat 3.1 kilogram.
  • Batu itu dipercayai terbesar pernah didokumentasikan dan dikeluarkan melalui pembedahan.
  • Pesakit masih di hospital dan terus menerima rawatan bagi masalah kesihatan lain.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan