Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Diperlekeh Jadi Pengawal Keselamatan, Lelaki Ini Bangkit Selepas Lapan Kali Gagal Ke Universiti Impian

PENGAWAL
Kredit: SCMP

Diperlekeh Jadi Pengawal Keselamatan, Lelaki Ini Bangkit Selepas Lapan Kali Gagal Ke Universiti Impian

Ada kalanya satu ayat daripada orang yang tidak dikenali mampu meninggalkan kesan mendalam sehingga mengubah hala tuju kehidupan seseorang.

Itulah yang dialami seorang bekas pengawal keselamatan dari China apabila kata-kata sinis seorang ibu kepada anaknya menjadi pembakar semangat untuk terus mengejar impian memasuki universiti idamannya.

Lelaki berusia 31 tahun itu, Yang Xiao dari Shenyang, wilayah Liaoning, akhirnya berjaya diterima masuk ke program pascasiswazah di Universiti Tsinghua selepas lapan kali mencuba, malah kini menyasarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Harvard.

Menurut laporan Jiupai News, Yang sudah menyimpan impian untuk belajar di Universiti Tsinghua sejak kecil.

Bagaimanapun, selepas menduduki peperiksaan kemasukan universiti kebangsaan China (gaokao) pada 2013, beliau diterima masuk ke Central Academy of Fine Arts kerana bakat seni lukisannya yang menonjol.

Selepas menamatkan pengajian pada 2018, Yang kembali ke kampung halamannya dan membuka sebuah sekolah seni sebelum mula mengejar impiannya untuk menyambung pengajian di Universiti Tsinghua.

Namun, percubaan pertamanya berakhir dengan kegagalan apabila markah yang diperoleh lebih 100 mata di bawah syarat kelayakan.

Malu untuk mengaku gagal, Yang pada mulanya berpura-pura kepada teman wanitanya bahawa dia telah berjaya diterima masuk ke universiti berkenaan.

Malangnya, percubaan kedua juga tidak membuahkan hasil dan akhirnya hubungan mereka berakhir.

Ujian hidup Yang tidak terhenti di situ apabila dia kemudian menjadi mangsa penipuan dalam hubungan cinta secara dalam talian.

Menurutnya, wanita tersebut berulang kali meminta wang dengan alasan masalah kesihatan dan hutang perjudian sehingga menyebabkan beliau kerugian lebih 1 juta yuan (kira-kira AS$150,000).

Akibat beban kewangan yang ditanggung, ibu bapanya terpaksa membantu melangsaikan hutang, manakala sekolah seni yang diusahakannya pula terpaksa ditutup.

Walaupun beberapa kali lagi gagal memperoleh markah kelayakan ke Universiti Tsinghua, Yang enggan berputus asa.

Bagi menyara kehidupan, beliau pernah bekerja sebagai tukang cuci sebelum menjadi pengawal keselamatan di kediaman pelajar antarabangsa dalam kampus Universiti Tsinghua selama dua tahun.

Menurut Yang, tugas fizikal itu bukanlah cabaran terbesar, sebaliknya tekanan emosi kerana berada begitu hampir dengan universiti impiannya tetapi masih belum bergelar pelajar.

Satu insiden yang paling sukar dilupakannya berlaku ketika sedang bertugas apabila seorang ibu menunjuk ke arahnya sebelum berkata kepada anaknya, "Kalau kamu tidak belajar bersungguh-sungguh, kamu akan jadi macam dia."

Yang mengakui kata-kata itu sangat menghiris perasaannya, namun pada masa sama menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha.

Sejak itu, beliau memanfaatkan setiap peluang yang ada dengan mengikuti kuliah secara senyap ketika waktu siang dan berlatih bertutur dalam bahasa Inggeris bersama pelajar antarabangsa pada waktu malam selepas selesai bekerja.

Usahanya turut membuahkan hasil apabila dinaikkan pangkat sebagai ketua pasukan keselamatan, sekali gus memberinya lebih banyak masa untuk mengulang kaji pelajaran.

Yang berkata pengalaman bekerja sebagai pengawal keselamatan mengubah pandangannya terhadap pekerjaan dan mengajarnya menghormati setiap individu tanpa mengira latar belakang.

Meskipun hidup berjimat cermat, beliau sanggup membelanjakan hampir keseluruhan simpanannya untuk menghadiri satu seminar akademik, yang akhirnya membuka peluang kepadanya memenangi beberapa anugerah penyelidikan.

Selepas lapan tahun berusaha tanpa mengenal erti putus asa, Yang akhirnya berjaya diterima masuk ke Akademi Seni dan Reka Bentuk Universiti Tsinghua pada percubaan kelapannya dengan markah 34 mata melepasi syarat kelayakan.

Beliau kini memberi tumpuan kepada penyelidikan berkaitan warisan budaya tidak ketara dan inovasi digital.

Menurutnya, walaupun tempoh pengajian program itu lazimnya mengambil masa tiga tahun, beliau berharap dapat menamatkannya lebih awal kerana ingin mengejar impiannya menyambung pengajian ke peringkat PhD di Universiti Harvard menerusi tajaan penuh.

Kisah Yang turut mendapat perhatian warga maya, dengan ramai menyifatkan kegigihannya sebagai bukti bahawa kegagalan bukanlah penamat, sebaliknya sebahagian daripada perjalanan menuju kejayaan.

Intipati
  • Yang Xiao diterima masuk ke Universiti Tsinghua selepas lapan kali mencuba selama bertahun-tahun.
  • Beliau pernah bekerja sebagai tukang cuci dan pengawal keselamatan di kampus Tsinghua.
  • Yang kini menumpukan penyelidikan warisan budaya tidak ketara dan menyasarkan PhD di Harvard.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan