Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ditahan Mencuri Untuk Kumpul Modal Kahwin, Lelaki Terpaksa Akad Nikah Di Balai Polis

Gambar: Detik.com

Seorang lelaki yang ditahan kerana disyaki mencuri di sebuah rumah kedai di Meruyung, Limo, Depok, Jawa Barat akhirnya melangsungkan pernikahan dengan kekasihnya di Balai Polis Cinere ketika masih dalam tahanan.

Lelaki yang bekerja sebagai penghibur jalanan itu sebelum ini mengaku melakukan perbuatan berkenaan bagi mendapatkan modal untuk berkahwin.

Ketua Polis Sektor Cinere, Kompol Chairul Saleh berkata suspek ditahan selepas kejadian pecah masuk sebuah rumah kedai pada 10 Julai lalu yang menyebabkan mangsa mengalami kerugian kira-kira Rp5 juta (kira-kira RM1,200).

Kes suspek kemudian diproses mengikut undang-undang berkaitan kesalahan mencuri.

Menurut Chairul, suspek memaklumkan kepada pegawai penyiasat mengenai hasratnya untuk berkahwin dengan kekasihnya ketika masih dalam tahanan.

Keluarganya kemudian mengemukakan permohonan pernikahan melalui Kantor Urusan Agama (KUA) Limo sebelum pihak polis mengambil inisiatif membantu memudahkan urusan berkenaan atas dasar kemanusiaan.

Polsek Cinere turut berkoordinasi dengan Kepolisian Resor (Polres) Metro Depok sebelum kedua-dua keluarga bersetuju supaya majlis akad nikah dilangsungkan di balai polis berkenaan.

Pasangan itu akhirnya sah bergelar suami isteri dalam majlis yang berlangsung di Aula Polsek Cinere pada Sabtu lalu.

Majlis tersebut turut dihadiri ahli keluarga kedua-dua pihak serta pegawai polis, manakala pernikahan disempurnakan oleh penghulu dari KUA Limo.

Menurut Detiknews, lelaki berkenaan menyerahkan satu set kelengkapan solat sebagai mas kahwin kepada isterinya.

Pihak polis turut menyediakan makanan ringan dan minuman bagi membantu melancarkan majlis berkenaan. Selepas akad nikah selesai, lelaki tersebut diberikan masa kira-kira sejam bersama keluarga sebelum kembali ke sel tahanan.

Chairul menegaskan pernikahan itu tidak menjejaskan proses undang-undang terhadap suspek dan dia kekal berstatus tahanan serta akan melalui proses perundangan mengikut ketetapan sedia ada.

Sumber:detiknews
Intipati
  • Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencuri di sebuah rumah kedai di Depok.
  • Dia memaklumkan hasrat berkahwin ketika dalam tahanan, sebelum keluarganya memohon melalui KUA Limo.
  • Polis menegaskan pernikahan itu tidak menjejaskan proses undang-undang terhadap suspek.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan