Masjid pertama di Slovenia berjaya dibuka di ibu kota Ljubljana pada Isnin selepas masalah kewangan serta tentangan pelampau kanan berjaya diselesaikan, iaitu selepas 50 tahun usul pembinaan dikemukakan.
Ketua komuniti Islam Mufti Nedzad Grabus menyatakan bahawa pembukaan masjid tersebut sebagai satu titik perubahan yang baharu dalam hidup mereka.

“Slovenia merupakan bekas wilayah Yugoslavia yang terakhir dapat mendirikan masjid, ianya sekali gus menjadikan Ljubljana sebagai ibu negara berbanding bandar kecil di hujung dunia,” katanya menerusi sidang media yang dilakukan.
Masyarakat Muslim adalah minoriti di negara itu telah membuat permohonan bagi membina masjid sejak dari akhir 1960-an semasa Slovenia masih lagi sebahagian daripada negara Komunis Yugoslavia.
Komuniti tersebut akhirnya telah mendapat kebenaran pada 15 tahun yang lalu, namun berdepan tentangan daripada ahli politik yang berhaluan kanan dan kumpulan sayap kanan selain menghadapi masalah kewangan.
Difahamkan, kepala serta darah babi juga turut sering dicampakkan ke tapak pembinaan sebagai tanda memprotes pembinaan masjid tersebut.
Pembinaan yang bermula pada 2013 itu telah menelan belanja sebanyak 34 juta euro (RM154.5 juta) dengan 28 juta euro (RM127.2 juta) dilaporkan disumbang oleh Qatar.
Terletak di kawasan semi-industri di Ljubljana, masjid tersebut boleh menampung sehingga 1,400 jemaah dalam satu-satu masa. Masjid tersebut juga turut dilaporkan terdiri daripada enam bangunan Pusat Kebudayaan Islam.

Pusat Kebudayaan tersebut juga turut dilengkapi dengan pejabat komuniti, pusat pendidikan, perpustakaan, restoran, gelanggang bola keranjang, rumah untuk kakitangan serta menara setinggi 40 meter.
Kesemua bangunan juga dibina menggunakan batu konkrit putih yang digabungkan dengan besi, kaca dan kayu. Kubah biru yang besar mendominasi seni bina dalaman masjid tersebut yang dirujuk seperti Masjid Biru di Istanbul.
Sumber: Arab News