Siapa sahaja tidak pilu melihat seorang bayi yang ditinggalkan keluarganya sendiri hanya mampu memandang orang yang lalu-lalang dengan mata penuh pengharapan.
Begitulah kisah seorang bayi perempuan berusia empat bulan yang dikenali ramai sebagai Lucianita, yang menghabiskan berbulan-bulan di sebuah hospital di Ecuador tanpa keluarga di sisinya.
Lucianita dilaporkan ditinggalkan ibunya di hospital berkenaan sebelum terus berada di situ dan menerima penjagaan daripada pihak hospital.
Namun, kisah Lucianita akhirnya membawa sinar harapan selepas datuk dan neneknya mendapat tahu tentang cucu mereka yang selama ini berada di hospital seorang diri.
Menurut hantaran Wild Heart di Facebook, Lucianita sebelum ini ditinggalkan di Hospital Kanak-Kanak Francisco de Icaza Bustamante di Guayaquil sejak Mac lalu.
“Pihak hospital memaklumkan keadaan Lucianita stabil dan dia menerima rawatan serta pemantauan perubatan secara berterusan,” maklum hospital itu.
Bayi Empat Bulan Ditinggalkan Di Hospital
Kisah bayi berusia empat tahun itu telah menarik perhatian ramai selepas beberapa hantaran mengenai keadaannya tersebar di media sosial.
“Menurut laporan, bayi itu sering mengangkat kepala dan menjenguk setiap kali ada seseorang lalu katilnya, seolah-olah sedang menunggu kehadiran insan yang dikenalinya.
“Bagaimanapun, tiada siapa yang tahu apa yang sebenarnya difikirkan oleh bayi itu namun gambaran tersebut meninggalkan kesan kepada ribuan orang yang mengikuti kisahnya,” lapor Wild Heart.
Namun nasib bayi itu akhirnya berubah apabila wakil Dewan Kebangsaan Ecuador, Diana Jácome berjaya mengesan datuk dan nenek Lucianita menerusi siasatan yang dia jalankan.
Menurut Jácome, datuk dan nenek bayi itu sebelum ini tidak mengetahu keadaan cucu mereka yang selama ini berada di hospital.
Kini, Lucianita telah dipindahkan ke rumah datuk dan neneknya, yang telah mengambil tanggungjawab untuk menjaga dan menguruskan keperluannya.
Akhirnya, selepas berbulan-bulan berada di bawah pemantauan pihak hospital, Lucianita kini dilaporkan sudah tinggal bersama ahli keluarganya sendiri.

