Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilantik sebagai Pengerusi Baharu Perikatan Nasional (PN).
Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Tan Sri Abdul Hadi Awang sebentar tadi.
Menurut kenyataan berkenaan, pelantikan ini dibuat selepas Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN terdahulu.
Penetapan itu dibuat menerusi Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang bertempat di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada jam 3 petang.
"Mesyuarat seterusnya dengan sebulat suara melantik YAB Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar sebagai Pengerusi PN yang baharu berkuat kuasa serta-merta," jelas kenyataan tersebut.
Turut hadir, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, dan Persiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, serta Presiden MIPP, P Punithan.
Difahamkan, mesyuarat berkenaan dijalankan bagi meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Abdul Hadi Awang serta melantik Pengerusi PN yang baharu.
"Adalah dimaklumkan mesyuarat meluluskan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin selaku Pengerusi PN berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026," maklum kenyataan tersebut.
Sementara itu, kenyataan berkenaan turut memaklumkan bahawa perkara lain akan dibincangkan serta diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang.
Antara perkara yang akan dibincangkan termasuk isu kedudukan ketua pembangkang baharu di Parlimen, lapor Bernama yang memetik kenyataan Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Isu berkenaan melibatkan penggantian Datuk Seri Hamzah Zainudin yang dipecat daripada Bersatu.