Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dr Asyraf Wajdi Tanya Kenapa Ibu Bapa Pilih MRSM, Ini Antara Jawapan Yang Mencuri Perhatian

MRSM
Hantaran Facebook dimuat naik oleh Dr Asyraf Wajdi semalam.

Mengapa memilih untuk memohon kemasukan anak ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM)? Persoalan itu diajukan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, sebelum mengundang pelbagai respons daripada ibu bapa yang berkongsi sebab mereka yakin dengan institusi pendidikan berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook, Asyraf Wajdi meminta ibu bapa berkongsi alasan memilih MRSM untuk anak masing masing di ruangan komen.

“Boleh saya tahu kenapa anda memilih?” soalnya.

Antara jawapan yang mencuri perhatian ialah keyakinan ibu bapa terhadap sistem pendidikan MRSM yang bukan sahaja menitikberatkan kecemerlangan akademik, malah turut memberi perhatian kepada pembentukan sahsiah, pendidikan agama dan kemahiran berdikari.

Seorang pengguna Facebook, Atieyfah Fauzana, menyenaraikan beberapa sebab dia memilih MRSM, antaranya yuran yang berpatutan, sistem homeroom, penilaian akademik dan penekanan terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak Tingkatan Satu.

Menurutnya, sistem berkenaan membantu pelajar membina asas yang kukuh dalam bidang Sains sebagai persediaan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dia turut memuji sokongan, kemudahan dan peluang yang disediakan MRSM untuk membantu pelajar mencapai kecemerlangan.

Sementara itu, Rohana Ghazali berkongsi pengalaman dua anak perempuannya yang pernah belajar di MRSM dan kini bekerja sebagai doktor.

Katanya, dia memilih MRSM kerana institusi itu turut menekankan pendidikan agama Islam, hafazan, disiplin dan pembentukan sahsiah, selain mendidik pelajar supaya bertanggungjawab, berdikari serta pandai membawa diri.

Bagi Faridah Abd Wahab pula, keputusan menggalakkan anak anak memohon ke MRSM atau Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dipengaruhi pengalaman keluarganya sendiri.

Menurutnya, arwah bapanya pernah menyifatkan MRSM dan SBP sebagai antara sekolah terbaik, selain berkongsi bahawa empat daripada sembilan adik beradiknya belajar di MRSM manakala lima lagi di SBP.

Pengalaman itu menjadi antara sebab keluarganya turut menggalakkan generasi seterusnya mendapatkan pendidikan di institusi berkenaan.

Seorang lagi pengguna Facebook, Azmie Osman, berkata dia memilih MRSM untuk anaknya yang kini berada di Tingkatan Empat di MRSM TGB selepas anaknya menerima tawaran daripada MRSM dan SBP.

Katanya, dia sendiri pernah menyimpan hasrat untuk memasuki MRSM ketika zaman persekolahan, namun tidak berpeluang berbuat demikian.

Justeru, dia berharap MARA dapat membantu membentuk hala tuju anaknya selepas tamat SPM kelak.

Dalam pada itu, DM Nazaruddin DtkHj DTigabelas berpandangan MRSM menawarkan peluang kepada anak anaknya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat antarabangsa, selain menyifatkan kualiti pendidikan institusi itu sebagai antara yang terbaik di Malaysia.

Pelbagai perkongsian itu memperlihatkan bahawa keputusan ibu bapa memilih MRSM bukan hanya berkisar soal akademik, sebaliknya turut melibatkan pembentukan peribadi, pendidikan agama, disiplin dan harapan terhadap masa depan anak anak mereka.

Intipati
  • Asyraf Wajdi meminta ibu bapa berkongsi alasan memilih MRSM untuk anak masing-masing.
  • Respons pengguna menekankan akademik, STEM, yuran berpatutan, sistem homeroom dan kemudahan pembelajaran.
  • Ibu bapa turut menghargai pendidikan agama, disiplin, sahsiah dan peluang masa depan pelajar.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan