Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dua Anggota Malbatt Cedera Di Selatan Lubnan

Hannah
malbatt cedera
Gambar: Awani

Dua Anggota Malbatt Cedera Di Selatan Lubnan

Dua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 dilaporkan mengalami kecederaan ringan susulan insiden serangan udara yang berlaku berhampiran kawasan operasi mereka di selatan Lubnan pagi tadi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.25 pagi waktu tempatan, sekitar satu kilometer ke arah barat Pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNP) 6-43 di kawasan Tibnin.

Menurut beliau, insiden berkenaan berlaku ketika sebuah konvoi logistik MALBATT 850-13 sedang menjalankan misi penghantaran bekalan secara rutin menuju ke Tyre.

"Akibat kejadian tersebut, dua anggota terkena serpihan cermin kenderaan dan mengalami kecederaan ringan, manakala dua kenderaan PBB mengalami kerosakan material luaran," katanya melalui kenyataan yang disiarkan hari ini.

Beliau berkata, sebaik sahaja insiden berlaku, Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) MALBATT 850-13 yang berpangkalan di UNP 6-43 segera digerakkan bersama pasukan perubatan dan elemen logistik bagi membantu anggota yang terlibat serta melaksanakan kerja pemulihan kenderaan yang terjejas.

Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan

Jelas beliau, pasukan yang tiba di lokasi telah menjalankan penilaian keselamatan, memeriksa keadaan anggota dan kenderaan sebelum mengatur pergerakan konvoi kembali ke pangkalan dengan selamat.

"Kedua-dua anggota yang cedera telah menjalani pemeriksaan perubatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Tiada kecederaan serius atau kehilangan nyawa dilaporkan," katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan bahawa pihak kementerian telah menghubungi keluarga anggota yang terlibat bagi memaklumkan perkembangan semasa dan keadaan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata beberapa langkah susulan sedang dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan anggota MALBATT 850-13 yang bertugas di kawasan operasi.

Antara langkah yang diambil termasuk memperketat prosedur pergerakan konvoi, meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan pemantauan keselamatan semasa, memperkukuh kerjasama dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL), serta melaksanakan penilaian risiko secara menyeluruh sebelum sebarang pergerakan dilakukan.

Sumber:Awani