Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenyataan KDN Berhubung Pendaftaran & Penentuan Status Pelarian

Hannah
pelarian
Gambar: BERNAMA

Kenyataan KDN Berhubung Pendaftaran & Penentuan Status Pelarian

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan isu pelarian di Malaysia perlu diuruskan secara berhemah, berasaskan fakta serta mengambil kira aspek keselamatan dan kemanusiaan.

Menurut KDN, pendirian tersebut selaras dengan pendekatan Kerajaan MADANI dalam menangani cabaran migrasi yang kompleks dan telah lama dihadapi negara.

Kementerian memaklumkan bahawa Malaysia telah berdepan dengan kehadiran pelarian dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sejak berpuluh tahun lalu.

Namun, sehingga kini kerajaan masih belum memiliki data yang lengkap dan menyeluruh mengenai jumlah sebenar, identiti serta latar belakang individu yang berada di negara ini atas kapasiti tersebut.

Sehubungan itu, KDN menegaskan keadaan berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana setiap dasar dan keputusan berkaitan migrasi perlu berpaksikan data yang tepat, sahih serta dimiliki oleh Kerajaan Malaysia sendiri.

Berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023), KDN melalui Jabatan Imigresen Malaysia kini melaksanakan proses Pendaftaran dan Penentuan Status Pelarian (DPP) di Semenanjung Malaysia.

Proses tersebut melibatkan pemegang dokumen UNHCR serta individu yang mendakwa diri mereka sebagai pelarian.

Melalui DPP, kerajaan akan mengumpul data biometrik dan maklumat identiti yang lebih terperinci bagi membolehkan status, keberadaan serta latar belakang individu yang terlibat dikenal pasti dengan lebih tepat.

Menurut KDN, data yang diperoleh amat penting bagi membantu kerajaan menilai implikasi keselamatan, kesihatan awam, ekonomi dan sosial secara lebih menyeluruh.

Selain itu, maklumat berkenaan akan digunakan untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP), dasar migrasi serta langkah penguatkuasaan berkaitan pelarian dan pemegang kad UNHCR berdasarkan data yang sahih dan boleh disahkan.

KDN turut menegaskan bahawa pelaksanaan DPP bukanlah suatu bentuk pemberian kewarganegaraan, taraf pemastautin tetap atau hak untuk menetap secara kekal di Malaysia.

Sebaliknya, ia merupakan instrumen penting bagi memastikan kerajaan mempunyai kawalan yang lebih berkesan terhadap isu migrasi dan keselamatan negara.

Menurut kementerian itu, keselamatan negara tidak akan sesekali dikompromi. Pada masa yang sama, isu pelarian perlu diuruskan secara teratur, berlandaskan undang-undang serta mengambil kira realiti kemanusiaan yang wujud di peringkat serantau dan antarabangsa.

KDN menegaskan bahawa pengurusan migrasi yang berkesan bermula dengan data yang tepat kerana kerajaan tidak dapat mengurus sesuatu secara berkesan tanpa mengetahui identiti serta status individu yang berada dalam sempadan negara.

Justeru, pelaksanaan DPP disifatkan sebagai langkah penting ke arah mewujudkan sistem pengurusan migrasi yang lebih tersusun, bertanggungjawab dan berteraskan kepentingan keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia.