Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

SUNGAI PETANI, 30 Jun (Bernama) -- Dua anggota tentera cedera selepas senjata api yang digunakan semasa sesi latihan menembak meletup di Kem Hobart, Gurun, dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata dalam kejadian pada 6.05 petang itu, seorang jurulatih berpangkat sarjan dan seorang pelatih berpangkat koperal mengalami kecederaan pada bahagian paha.
“Jurulatih lelaki berusia 35 tahun itu menerima lapan jahitan pada paha kanan manakala pelatih lelaki berusia 29 tahun yang mengalami kecederaan pada paha kiri masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan masalah teknikal, bukan disebabkan kecuaian atau terkena tembakan peluru, sebaliknya berkemungkinan daripada serpihan objek atau bahan asing yang terpelanting selepas berlaku letupan pada bahagian senjata berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pondok Polis Jeniang dekat sini hari ini.
Adzli berkata sewaktu sesi latihan, senjata berkenaan mengalami stoppage atau terhenti dengan sendiri.
“Mengikut prosedur operasi standard (SOP), tindakan keselamatan telah diambil dengan mengosongkan senjata dan meletakkannya dalam keadaan selamat, namun ketika pemeriksaan dilakukan, ada part senjata itu tiba-tiba meletup.
“Doktor turut mengesahkan kecederaan bukan berpunca daripada peluru,” katanya.
Beliau berkata sebanyak 300 anggota tentera dari Perlis sedang mengikuti latihan menembak membabitkan pelbagai jenis senjata, bermula 28 Jun sehingga Khamis ini.
“Ada banyak fasa latihan dan dalam kejadian petang semalam mereka sedang berlatih menggunakan senjata berat.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pakar persenjataan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih melakukan pemeriksaan di lokasi kejadian,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adzli berkata siasatan kes letupan bom sewaktu sesi latihan di kem sama pada 16 Jun lepas yang mengorbankan dua anggota telah selesai.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Bagaimanapun, siasatan terperinci berkaitan aspek teknikal diserahkan kepada pihak tentera,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan Balai Polis Jeniang ditutup buat sementara bermula 2 Julai hingga 20 Ogos depan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menaik taraf.
“Semua operasi akan dipindahkan sementara ke Pondok Polis Jeniang dan orang awam boleh berurusan di sana sehingga selesai kerja naik taraf,” katanya.