Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dua buah bilik di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Serong, Tanjung Karang mengalami kerosakan akibat kebakaran yang berlaku awal pagi tadi.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.50 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Karang tiba di lokasi pada pukul 1.01 pagi.
Menurut beliau, kebakaran melibatkan bangunan sekolah jenis Kelas A yang diperbuat daripada binaan batu bata.
“Siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan dua bilik iaitu bilik pentadbiran dan bilik unit sumber dengan keluasan keseluruhan kira-kira 60 x 25 kaki persegi.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada pili bomba dengan tiga aliran sepanjang 200 kaki serta tiga pancutan nozel,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 1.13 pagi sebelum kerja pemadaman dan pemeriksaan lanjut (overhaul) diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh mencetuskan api.
Menurutnya, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut dimaklumkan untuk melakukan pemotongan bekalan elektrik sebagai langkah keselamatan.
“Operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 3.56 pagi,” ujarnya.
Seramai 13 anggota bomba dari BBP Tanjung Karang dengan bantuan BBP Kuala Selangor dan BBP Sungai Besar terlibat dalam operasi berkenaan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.