Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

KULIM, 12 Ogos (Bernama) -- Dua lelaki yang hadir ke Mahkamah Majistret Kulim hari ini untuk sebutan kes, melarikan diri dari kawasan mahkamah ketika anggota polis dalam proses menahan semula mereka.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Syamsul Sinring berkata kejadian berlaku kira-kira 10 pagi selepas kedua-dua Orang Kena Tuduh (OKT), masing-masing berusia 27 dan 31 tahun, selesai urusan sebutan pengurusan kes serta serahan dokumen.
Beliau berkata kedua-dua lelaki itu hadir ke mahkamah bagi sebutan kes membabitkan pertuduhan mengikut Seksyen 324 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
“Pada 30 April lepas, kedua-dua OKT didakwa di Mahkamah Majistret Kulim dan dibenarkan ikat jamin sementara menunggu proses perbicaraan.
“OKT pertama diikat jamin RM4,000 manakala OKT kedua RM3,000. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 8 Jun, 12 Julai dan hari ini bagi urusan serahan dokumen serta pengurusan kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Syamsul berkata selepas selesai urusan di mahkamah, kedua-dua OKT keluar melalui pintu belakang sebelum menyedari kehadiran anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di pintu hadapan mahkamah yang akan menahan mereka semula bagi kes lain.
“Seorang daripada mereka terus melarikan diri dalam kawasan mahkamah dan turun melalui tiang dari aras satu, manakala seorang lagi masuk semula ke dalam bangunan sebelum melarikan diri melalui laluan belakang.
“Kedua-duanya melarikan diri melalui laluan belakang dengan memanjat pagar,” katanya.
Beliau berkata polis kini sedang berusaha mengesan kedua-dua lelaki berkenaan.
Terdahulu, tular video berdurasi 24 saat yang memaparkan keadaan kecoh di perkarangan Kompleks Mahkamah Kulim, apabila seorang lelaki dipercayai salah seorang OKT terbabit dilihat memanjat pagar sebelum melarikan diri.