Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ramai melihat kerja Grab Holdings atau Lalamove sekadar kerja sambilan untuk tambah pendapatan.
Hakikatnya, di sebalik fleksibiliti masa dan kebebasan bekerja sendiri, dunia ekonomi gig menyimpan pelbagai realiti yang tidak ramai tahu.
Di Malaysia, majoriti pekerja masih bekerja di bawah majikan tetap, namun semakin ramai memilih laluan ekonomi gig seperti e-hailing dan p-hailing sebagai sumber rezeki utama.
Walaupun sering disebut bersama, hakikatnya kedua-dua bidang ini mempunyai fungsi yang berbeza.
Secara ringkas, e-hailing merujuk kepada perkhidmatan membawa penumpang menggunakan aplikasi seperti Grab, manakala p-hailing pula lebih kepada penghantaran makanan atau barangan seperti yang dilakukan penghantar makanan dan kurier motosikal.
Kedua-duanya berada di bawah sistem ekonomi gig, iaitu satu bentuk pekerjaan fleksibel tanpa majikan tetap, dibayar berdasarkan tugasan yang diselesaikan.
Berbeza dengan pekerja sambilan yang masih tertakluk kepada waktu kerja dan arahan majikan, pekerja gig mempunyai kebebasan menentukan sendiri masa bekerja, lokasi dan jumlah tugasan yang ingin diambil.
Namun, kebebasan itu datang dengan harga tersendiri.
Buat masa ini, pekerja e-hailing dan p-hailing tidak dilindungi secara khusus di bawah Akta Kerja 1955 seperti pekerja tetap.
Sebaliknya, mereka lebih tertakluk kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 yang memberi perlindungan asas seperti kemalangan, faedah perubatan, hilang upaya, kematian dan pendidikan.
Namun dari sudut realiti lapangan, pengalaman bekerja dalam ekonomi gig jauh lebih mencabar daripada apa yang dilihat di luar.
Penulis sendiri pernah melalui pengalaman sebagai pemandu Grab sepenuh masa selama lima bulan di Perlis.
Sepanjang tempoh itu, rutin harian bukanlah sekadar memandu beberapa jam, tetapi kadangkala mencecah sehingga 16 jam sehari dengan minimum lapan jam di atas jalan.
Bagi yang biasa memandu di utara, perjalanan jauh seperti dari Kangar ke Sungai Petani atau masuk ke Alor Setar bukan perkara luar biasa.
Ada hari pulang dengan pendapatan memuaskan, ada hari balik dengan tangki minyak hampir kosong dan tenaga yang sudah habis.
Lebih mencabar apabila hujan turun sepanjang hari.
Ramai tidak tahu, cuaca memainkan peranan besar dalam menentukan jumlah pendapatan pemandu Grab.
Ketika hujan lebat, jalan sesak, tempahan boleh berkurang atau perjalanan menjadi lebih lambat, sekali gus mengehadkan jumlah trip yang boleh dibuat.
Di atas kertas, kerja gig nampak mudah.
Buka aplikasi, tunggu pelanggan, jalan.
Tetapi realitinya, ia menuntut kesabaran, tenaga, fokus dan pengorbanan masa yang besar.
Tiada gaji tetap. Tiada cuti berbayar. Tiada bonus tahunan.
Kalau tidak bergerak, tiada pendapatan.
Sebab itu, penting untuk masyarakat memahami bahawa pekerja e-hailing dan p-hailing bukan sekadar “driver” atau “rider”, tetapi sebahagian daripada nadi ekonomi moden yang membantu menggerakkan kehidupan harian ramai orang.
Di sebalik setiap perjalanan yang kita tempah, ada seseorang yang sedang berjuang mencari rezeki dengan caranya sendiri.