Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Elon Musk Jadi Individu Pertama Dunia Bergelar Trilionair

elon musk
Kredit: AFP

Elon Musk menjadi individu pertama di dunia bergelar trilionair pada Jumaat susulan lonjakan saham SpaceX ketika penampilan sulungnya di pasaran Wall Street.

Memetik AFP, saham SpaceX milik Elon Musk melonjak 11 peratus kepada AS$150 pada hari pertama dagangannya, selepas mencatatkan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dalam sejarah.

Operasi berskala besar itu berjaya mengumpul lebih AS$75 bilion dan dijangka menjadi pembuka jalan kepada beberapa IPO utama syarikat kecerdasan buatan (AI) dalam beberapa bulan akan datang.

Kredit: AFP

Penampilan sulung SpaceX di bursa Nasdaq, New York itu menyusuli kegilaan pelabur selama beberapa minggu terhadap syarikat roket yang kini berkembang menjadi konglomerat AI dan satelit.

“SpaceX mahu membawa anda ke bulan, ke Marikh dan akhirnya lebih jauh daripada itu.

“Saya yakin dengan pasukan luar biasa yang kami miliki di SpaceX, kami mampu merealisasikannya untuk anda,” kata Musk dalam satu acara pelancaran di Starbase, Texas, sambil dikelilingi kakitangannya.

Kira-kira 100 orang berkumpul di luar bangunan bursa Nasdaq di New York, manakala SpaceX turut meraikan detik bersejarah itu dengan memasang papan tanda neon di Times Square yang memaparkan kata-kata, 'Membina infrastruktur menuju masa hadapan'.

“Musk menetapkan matlamat futuristik yang tidak dilakukan oleh orang lain dan saya rasa perkara itu membuatkan ramai orang teruja,” kata Sarin Sio daripada syarikat kewangan Dovetail yang hadir ke ibu pejabat Nasdaq.

Syarikat itu menetapkan harga lebih 555 juta saham pada AS$135 sesaham menerusi pemfailan kepada pengawal selia pasaran Amerika Syarikat pada Khamis, sekali gus menilai SpaceX pada kadar hampir AS$1.8 trilion.

Kenaikan saham pada Jumaat meningkatkan nilai pasaran SpaceX kepada kira-kira AS$2 trilion, sekali gus meletakkannya dalam kelompok 10 syarikat paling bernilai di Amerika Syarikat, mengatasi Tesla, Meta dan Walmart.

Kredit: AFP

Opsyen bagi hampir 83 juta saham tambahan pula berpotensi meningkatkan jumlah keseluruhan dana yang dikumpul kepada lebih AS$86 bilion.

SpaceX yang diasaskan bersama oleh Musk pada 2002 bermula sebagai syarikat pemula roket sebelum berkembang menjadi pengendali satelit utama.

Syarikat itu turut menggabungkan firma AI milik Musk, xAI, yang merangkumi platform media sosial X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter.

Didagangkan menggunakan kod saham “SPCX”, konglomerat itu kini diperhatikan dengan teliti bagi melihat bagaimana Wall Street menerima penawaran saham tersebut.