Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

IPOH, 28 Julai (Bernama) -- Enam beradik hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 118.87 gram, minggu lepas.
Tertuduh yang kesemuanya penganggur hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama melakukan perbuatan itu di sebuah pondok tidak bernombor bersebelahan sebuah rumah di Laluan Usaha, Kampung Che Zainal Tambahan 1, Chemor di sini pada 9.20 malam, 21 Julai lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39 B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39 B (2) akta sama serta dibaca dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum mati, dihukum sebat minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin memandangkan hukuman adalah berat dan menetapkan 22 Okt depan untuk status laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah akan turut bersidang di wad Hospital Raja Permaisuri Bainun pada petang ini bagi rakan mereka Mohd Ismail Borhan, 43, yang dirawat di hospital berkenaan atas masalah kesihatan, untuk pertuduhan sama.