Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

EPL Benarkan Pemain Muslim Berbuka Puasa Ketika Perlawanan
Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) akan meneruskan prosedur khas sepanjang Ramadan, dengan perlawanan dihentikan seketika bagi membolehkan pemain Muslim berbuka puasa, lapor BBC Sport.
Dengan waktu matahari terbenam di United Kingdom antara sekitar jam 5 petang hingga 7 malam sepanjang Ramadan, hanya perlawanan sepak mula pada Sabtu jam 5.30 petang dan Ahad jam 4.30 petang berpotensi dihentikan seketika.
Seperti yang dilaksanakan pada tahun-tahun sebelum ini, ketua pasukan bersama pegawai perlawanan akan mengenal pasti masa henti dalam permainan bagi membolehkan pemain atau pegawai perlawanan beragama Islam berbuka puasa.
Pasukan dan pegawai perlawanan akan berbincang lebih awal sama ada hentian diperlukan, selain menetapkan anggaran waktu pemberhentian. Hentian tersebut tidak akan digunakan sebagai waktu rehat minuman pasukan atau masa rehat taktikal.
Permainan tidak akan dihentikan ketika perlawanan sedang berlangsung secara aktif, sebaliknya pada masa paling sesuai seperti sepakan gol, sepakan percuma atau lontaran ke dalam.
Pada tahun 2021, satu persetujuan telah dicapai bagi membolehkan pemain Muslim berbuka puasa semasa perlawanan EPL.
Waktu berbuka puasa itu pertama kali berlaku dalam perlawanan antara Leicester City dan Crystal Palace pada April 2021. Perlawanan dihentikan seketika sekitar minit ke-30 ketika sepakan gol bagi membolehkan pemain Leicester, Wesley Fofana dan pemain Palace, Cheikhou Kouyate, menambah tenaga.
Antara pemain Muslim dalam EPL termasuk Mohamed Salah, William Saliba, Rayan Ait-Nouri dan Amad Diallo.