Kru kapal KRI Nanggala 402 sempat berusaha menyelamatkan diri sebelum kapal itu tenggelam di laut utara Bali, lapor Tribun News.
Berdasarkan penemuan sut keselamatan kru kapal selam MK11 yang sudah terkoyak oleh ROV MV Swift Rescue dari Singapura, para kru kapal dipercayai mengalami kecemasan dan cuba mengeluarkan sut itu namun tidak sempat memakainya.
Memetik kenyataan Ketua Staf TNI Angkatan Laut, Laksamana Yudo Margono, sut berkenaan kebiasaannya disimpan di kotak khas dan hanya dikeluarkan ketika waktu kecemasan.
“Sut keselamatan (escape suit MK11) ini biasanya disimpan di kotak, tetapi ini boleh terkeluar, bermaksud ada kecemasan sehingga ia diambil dari kotak untuk dipakai,” katanya.
Ujarnya, sut itu telah berjaya dikeluarkan, namun tidak sempat dipakai kerana keadaan darurat.
“Mungkin tidak sempat pakai atau saat dipakai, kapal goyang hingga terlepas.”
Tambah Yudo, terdapat bahagian kapal yang masih utuh, namun ada bahagian yang mengalami keretakan.
Namun, dengan keadaan kapal selam yang berada pada kedalaman 838 meter, sangat kecil kemungkinan kru kapal dapat diselamatkan, tambahnya.
Kapal KRI Nanggala telah ditemui terbelah kepada tiga bahagian semalam dengan 53 kru kapal berkenaan dilaporkan terkorban.



Sumber: Tribun News