Kementerian Pendidikan (KPM) sedang dan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memperkukuh usaha menangani isu buli di sekolah, termasuk penambahan pemantauan di asrama, pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta penambahbaikan saluran aduan.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, langkah berkenaan antara usaha KPM menjawab tujuh saranan yang dikemukakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu buli di sekolah.
Menurutnya, KPM menyambut baik pandangan mengenai keperluan memperkukuh pemantauan di asrama, termasuk melalui penambahan 300 Pembantu Warden Asrama (MyPWA) yang mula ditempatkan di sekolah berasrama seluruh negara sejak 1 April lalu.
Inisiatif itu dilaksanakan bagi meningkatkan tahap keselamatan di sekolah berasrama, selain membantu mengurangkan beban tugas guru, khususnya dalam pemantauan waktu malam.
Menyentuh isu pihak yang cuba menyembunyikan kes buli, Fadhlina memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pentadbir atau guru yang cuai atau cuba melindungi insiden berkenaan demi menjaga reputasi sekolah.
“Jangan sesekali kita tutup kes. Sebab itu kita juga ‘reform’ Portal Aduan Buli KPM dan memperkenalkan fungsi aduan tanpa nama untuk melindungi identiti pengadu dan saksi.
“Kita kena pastikan mereka ada jalan untuk bersuara dan yakin bahawa apabila mereka bersuara, ada orang yang akan bertindak,” katanya dalam hantaran di aplikasi Threads.
Portal Aduan Buli KPM sememangnya menyediakan saluran aduan berkaitan buli dalam kalangan murid di sekolah KPM, termasuk saluran SISPAA serta telefon dan WhatsApp.
Kes Berunsur Jenayah Wajib Dilapor Kepada Polis
Berhubung pengurusan kes yang mempunyai unsur jenayah, Fadhlina menegaskan pihak sekolah tidak boleh mengambil alih tugas polis dengan menganggapnya sebagai kes disiplin semata-mata.
Sebaliknya, kes yang mempunyai unsur jenayah perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Bagi pelaksanaan Akta Antibuli 2026 pula, beliau berkata KPM merupakan antara pihak yang terlibat dalam penggubalan akta berkenaan bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
Katanya, akta tersebut turut memberi ruang kepada mangsa untuk membawa aduan ke Tribunal Antibuli.
“Selepas Akta ini, pengurusan buli bukan lagi bergantung kepada garis panduan sekolah semata-mata. Institusi pendidikan mempunyai tanggungjawab di sisi undang-undang,” jelasnya.
CCTV Diperluas Di Sekolah
Dalam pada itu, Fadhlina berkata pemasangan CCTV turut diperluaskan bagi mengurangkan kawasan yang tidak dipantau atau blind spot di sekolah.
Menurutnya, pemasangan CCTV telah diperluaskan ke 333 sekolah tahun ini, khususnya di kawasan berisiko seperti tangga, koridor dan bilik persediaan (prep).
Usaha berkenaan turut disokong kepakaran Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).
Tiada Istilah ‘Senior Ajar Junior’ Jika Melibatkan Buli
Fadhlina turut menegaskan budaya senioriti tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan perbuatan buli berlaku di sekolah.
Jelasnya, istilah ‘senior ajar junior’ tidak boleh digunakan sekiranya ia melibatkan perbuatan memukul, mengugut atau memalukan murid.
Beliau berkata KPM turut melaksanakan intervensi antibuli secara menyeluruh menerusi pendekatan SAFE, dengan penglibatan ibu bapa dan komuniti bagi memutuskan rantaian budaya berkenaan.
KPM sebelum ini turut menegaskan pendirian tidak berkompromi terhadap salah laku buli dan telah menyediakan garis panduan khusus bagi pengurusan salah laku buli di institusi pendidikan.
Usaha memperkukuh keselamatan sekolah juga selari dengan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat KPM yang diperkenalkan pada 2026.

