Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Zhang Zhanshuo Cipta Sejarah, Raih Emas Ketujuh Renang Di Sukan Asia

ZHANG
Kredit: AFP

Perenang China, Zhang Zhanshuo mencipta sejarah apabila meraih pingat emas ketujuh dalam satu temasya Sukan Asia selepas menjuarai acara 400 meter (m) gaya bebas, semalam.

Perenang berusia 19 tahun itu menamatkan saingan dengan catatan 3 minit 41.28 saat, sekali gus mencipta rekod baharu temasya bagi acara berkenaan.

Lebih istimewa, Zhang menjadi perenang pertama dalam sejarah Sukan Asia yang memenangi tujuh pingat emas dalam satu temasya.

Sebelum ini, perenang Jepun, Rikako Ikee memenangi enam emas di Jakarta pada 2018 sebelum pencapaian itu disamai Zhang Yufei dari China di Hangzhou lima tahun kemudian.

Namun, Zhang Zhanshuo berjaya melangkaui pencapaian tersebut dengan tujuh emas dan menyifatkan perlumbaan terakhirnya sebagai penutup sempurna.

“Saya lebih tenang daripada yang saya bayangkan.

“Saat menyentuh dinding mungkin detik paling mengujakan. Ia juga perlumbaan terakhir saya dalam kejohanan ini. Hari ini terasa seperti penutup yang sempurna,” katanya.

Perenang setinggi 198 sentimeter itu turut meraih emas dalam acara individu 200m, 800m dan 1,500m gaya bebas selain membantu pasukan China memenangi tiga acara berganti-ganti.

Dalam final 400m gaya bebas, Zhang menamatkan perlumbaan 4.27 saat di depan pemenang pingat perak dari Jepun, Kazushi Imafuku.

Selepas perlumbaan, Zhang dilihat duduk di pembahagi lorong sambil mengira satu persatu tujuh pingat emas yang dimenanginya menggunakan jari.

Sasar Olimpik Los Angeles 2028

Selepas mencipta sejarah di Tokyo, Zhang kini mula mengarahkan perhatian kepada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 selain menyasarkan rekod dunia.

Katanya, kejayaan di Sukan Asia bukan matlamat akhirnya dan beliau perlu terus memperbaiki kelemahan diri.

“Saya fikir perkara paling penting adalah kekal merendah diri dan fokus kerana Sukan Asia bukan matlamat utama saya.

“Saya perlu berdepan dengan kelemahan sendiri secara jujur dan menyedari jurang antara diri saya dengan atlet terbaik dunia,” katanya.

China turut mencatat malam gemilang dalam kolam renang apabila memenangi lima daripada tujuh acara final yang dipertandingkan.

China mendominasi keseluruhan kutipan pingat renang dengan 30 emas, manakala Jepun berada di tempat kedua dengan tujuh emas.

Li Bingjie meraih emas kelima dalam temasya kali ini menerusi acara 800m gaya bebas wanita, manakala Zhang Yufei menambah emas keempatnya dalam acara 50m kuak kupu-kupu.

Chinese Taipei Cipta Sejarah

Sementara itu, Chinese Taipei turut mencipta sejarah apabila Wang Kuan-hung menghadiahkan pingat emas pertama negara itu dalam acara renang lelaki di Sukan Asia.

Wang menjuarai 200m kuak kupu-kupu dengan catatan 1 minit 55.05 saat, menewaskan wakil China, Xu Fang.

“Ini impian yang menjadi kenyataan. Ia terasa tidak benar. Saya sangat gembira dan bersyukur dengan pencapaian ini,” katanya.

Dalam acara 50m kuak dada pula, remaja Jepun, Shin Ohashi gagal melengkapkan hatrik emas selepas sekadar meraih gangsa.

Perenang berusia 17 tahun itu menamatkan perlumbaan 0.33 saat di belakang pemenang emas dari China, Qin Haiyang.

Ohashi sebelum ini mencuri perhatian selepas memecahkan rekod dunia acara 200m kuak dada dengan catatan 2 minit 04.83 saat, selain meraih emas 100m kuak dada menerusi keputusan seri dengan wakil China, Dong Zhihao.

Sementara itu, Jepun meraih emas menerusi Kodai Nishiono dalam acara 200m kuak lentang, manakala China menutup saingan dengan emas acara 4x100m medley wanita.

Intipati
  • Zhang Zhanshuo meraih emas ketujuh selepas menjuarai 400m gaya bebas Sukan Asia.
  • Catatan 3:41.28 saat Zhang mencipta rekod baharu temasya bagi acara berkenaan.
  • China menguasai renang dengan 30 emas, manakala Jepun berada kedua dengan tujuh emas.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan