Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Faizal Tahir: Suara Rakyat Sempurna-kan Dirgahayu Dua Dekad FT

Syamimi
SUARA

Faizal Tahir: Suara Rakyat Sempurna-kan Dirgahayu Dua Dekad FT

‘Assalamualaikum’, berikut merupakan pengumuman penting dan sangat mustahak yang mahu disampaikan oleh Hitman Solutions dengan kolaborasi Faithful Music. Sesuatu yang ‘Santai’ namun cukup luar biasa serta bakal menjadi sejarah industri hiburan tempatan bakal menanti anda. 

Faizal Tahir: Suara Rakyat; sebuah epitome yang dinantikan bakal menemui anda pada 3 Oktober 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil. Konsert julung kali yang dijenamakan sebagai Faizal Tahir: Suara Rakyat ini juga merupakan refleksi kepada persona yang telah ditebarkan ‘adun seni’ Faizal Tahir atau dikenali dengan akronim FT sejak dua dekad lalu. Karya-karya ciptaannya mengalir seperti air sungai yang mengandungi banyak mesej positif, satira-satira buat dunia dan teguran serta teladan buat masyarakat adalah lambang ‘suara rakyat’ yang disampaikan dengan penuh berseni.

Bukan sebuah penganjuran konsert yang tipikal, Faizal Tahir: Suara Rakyat sarat dengan ‘Ragaman’ yang pernah dan telah melekat dengan Faizal Tahir sejak pertama kali menghipnotis peminat Malaysia menerusi penglibatannya dalam program realiti One in a Million pada 2006 silam. 

Meski Faizal Tahir: Suara Rakyat yang bakal berlangsung pada 3 Oktober 2026, ‘Bukan yang Pertama’, namun anda bakal menikmati momen ‘Bencinta’ dengan ‘adun seni’ yang cukup kreatif ini menjadi yang terbaik pada tahun ini. Sementelah, Faizal Tahir: Suara Rakyat dilaksanakan pada tahun ke-20 perayaan karier beliau sebagai ‘adun seni’ yang cukup berprofil tinggi. 

Pengarah Urusan & Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal menyifatkan Faizal Tahir sebagai karyawan seni yang bukan sekadar menyerikan industri hiburan tetapi nadi kepada banyak karya bersifat teladan serta meninggalkan impak baik yang disampaikan lewat lagu-lagu hasil pemikiran geniusnya.

Maka dengan itu, Hitman tidak memerlukan 1001 alasan untuk menganjurkan Faizal Tahir: Suara Rakyat kerana komposer dan penyanyi yang telah dinobatkan dengan pelbagai anugerah sepanjang dua dekad ini telah membuktikan kehebatannya menerusi karya-karya berkualiti yang dibikin untuk diri sendiri mahupun rakan penyanyi lain.

“Faizal Tahir telah memberi sumbangan dan meninggalkan impak yang cukup besar dalam sejarah industri muzik selama dua dekad menjadi karyawan seni, justeru konsert ini akan menjadi yang paling ikonik dan istimewa dipersembahkan Hitman Solutions sebagai tanda apresiasi bukan hanya kepada FT tetapi peminat yang bersama merayakan jatuh bangun beliau selama ini. 

“Dan selaku penganjur, adalah tanggungjawab Hitman Solutions untuk memastikan momentum serta komitmen kami terhadap penganjuran konsert sama ada antarabangsa atau artis lokal berada pada piawaian yang terbaik.

“Maka kami sangat tidak sabar menganjurkan Faizal Tahir: Suara Rakyat yang dijadual berlangsung pada 3 Oktober 2026 ini di Unifi Arena, Bukit Jalil kerana apa yang bakal disaksikan bukan tentang konsert tetapi momen besar selama 20 tahun yang dilalui FT bersama anda semua,” ujar Rohit Rampal. 

Buat karyawan yang pernah tercalon dalam kategori Best Southeast Asia Act di MTV Europe Music Awards dari tahun 2015 sehingga 2017, penganjuran Faizal Tahir: Suara Rakyat merupakan peluang buatnya kembali menyulam pertemuan dan menjalin interaksi secara langsung dalam skala besar selepas kali terakhir berbuat demikian menerusi konsert solo Aku Faizal Tahir Live in KL at Dewan Merdeka, WTCKL (World Trade Centre Kuala Lumpur), tiga tahun lalu.

“Selama 20 tahun dalam industri dan menekuni karier ini, sesuatu yang sentiasa membuat saya ‘hidup’ dan bergerak adalah sokongan peminat. Maka setelah agak lama tidak berinteraksi dengan peminat saya mahu menjadikan Faizal Tahir: Suara Rakyat sebagai momen untuk kami menikmati karya yang telah dihasilkan, pernah meninggalkan kesan lalu mencipta memori baharu bersama-sama. 

‘Ini bukan tentang saya tetapi tentang kebersamaan kami. Tentang suara kami bersama,” ujar Faizal Tahir. 

Di Faizal Tahir: Suara Rakyat, peminat akan dihidangkan dengan untaian hit FT dari era Mahakarya Cinta sehingga karya terkini dari album Jati Diri yang dipasarkan pada tahun lalu. Dan tentu sahaja, konsert ini bukan hanya tentang mempersembahkan lagu tetapi penceritaan serta emosi yang ada dalam setiap karya yang telah dihasilkan sepanjang 20 tahun ini.

Arakian dengan penuh teruja menanti kehadiran 3 Oktober 2026 sebagai tanggal pertemuan yang penuh ‘Gemuruh’, buat peminat, jangan sampai terlepas membeli tiket Faizal Tahir: Suara Rakyat yang akan dijual bermula 9 Jun 2026 (Selesa) pada pukul 12 tengah hari (Pra-Jualan Artis) dan Jualan Umum yang bermula 10 Jun pukul 3 petang. 

Setiap pembelian tiket Faizal Tahir: Suara Rakyat hanya boleh dibeli melalui www.hitmanlive.com. Sebarang informasi mengenai Faizal Tahir: Suara Rakyat pula boleh diperoleh menerusi www.hitmanlive.com atau ikuti perkembangan di @hitmansolutions.

Jadi buat semua rakyat, jangan sampai terlepas. ‘Bila Lagi Nak Jumpa’ adun seni anda, Faizal Tahir secara bersemuka dan berbahagia? ‘Biar Satu Dunia Tahu’ anda adalah salah seorang ‘rakyat jelata’ yang berhimpun di Faizal Tahir: Suara Rakyat pada 3 Oktober 2026 di Unifi Arena Bukit Jalil nanti. 

Malam ini direalisasikan menerusi kerjasama antara dua pihak penganjur, Hitman Solutions dan Faithful Music, bersama sokongan Era FM, Sinar FM, THR Gegar, Zayan FM, Hitz FM, Mix FM, dan Lite FM (Radio Partners), serta Astro Gempak, World of Buzz, dan Rentak Sejuta sebagai Media Partner.