Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Fakta Gempa Bumi Dan Bagaimana Tsunami Terhasil Yang Ramai Tak Tahu

Adib Haiqal
Bagaimana Tsunami Terhasil
Kredit: Bernama

Fakta Gempa Bumi Dan Bagaimana Tsunami Terhasil Yang Ramai Tak Tahu

Dunia hari ini dikejutkan dengan kejadian gempa bumi kuat yang melanda Mindanao, Filipina, termasuk beberapa siri gempa susulan.

Gegaran turut dilaporkan dirasai di beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna dan kawasan sekitarnya, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Susulan kejadian itu, perhatian kini tertumpu kepada satu persoalan penting yang sering timbul setiap kali gempa bumi berlaku di kawasan laut.

Bagaimana sebenarnya gegaran di dasar bumi ini boleh mencetuskan tsunami yang mampu membawa impak besar kepada pesisir pantai?

Oleh itu, SK hari ini akan mengupas dengan lebih lanjut fenomena ini bagi memberi pemahaman yang lebih jelas kepada orang ramai.

Apa itu Gempa Bumi?

Gempa bumi adalah pergerakan mengejut permukaaan bumi disebabkan oleh pergerakan batuan di sepanjang garis sesar atau di atas persempadanan plat tektonik.

Walau bagaimanapun, gempa bumi juga boleh disebabkan oleh aktiviti gunung berapi. Semakin besar saiz gempa bumi, semakin besar kemusnahan yang dibawa.

Bagaimana Tsunami Terhasil ?

Menurut laman web Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), perkataan "tsunami" berasal daripada perkataan Jepun yang bermaksud ombak laut di perlabuhan.

Tsunami boleh digambarkan sebagai satu siri gelombang besar yang bergerak merentasi lautan dengan jarak antara satu puncak gelombang ke puncak yang lain yang sangat panjang.

Selang masa antara setiap gelombang ini biasanya berlaku sekitar 10 minit hingga satu jam. Fenomena ini lazimnya tercetus secara tiba-tiba apabila berlaku gangguan kuat pada dasar laut.

Kejadian tsunami bermula daripada perubahan mendadak di dasar lautan.

Apabila gempa bumi menyebabkan dasar laut bergerak atau terangkat secara tiba-tiba, tenaga yang terhasil akan mencetuskan gelombang besar.

Selain itu, tsunami juga boleh terjadi akibat tanah runtuh di dasar laut, letusan gunung berapi, letupan besar, serta hentaman objek dari angkasa seperti meteorit.

Di kawasan laut dalam, tsunami boleh bergerak dengan kelajuan yang sangat tinggi, melebihi 800 km/jam, namun ketinggian gelombangnya hanya beberapa sentimeter sahaja sehingga hampir tidak disedari.

Apabila gelombang ini menghampiri kawasan pantai yang lebih cetek, kelajuannya akan berkurang tetapi ketinggiannya meningkat secara mendadak sehingga boleh membentuk dinding air setinggi puluhan meter.

Keadaan ini boleh menyebabkan kemusnahan besar serta mengakibatkan kehilangan nyawa apabila melanda kawasan pesisir pantai.

Sebab Gempa Bumi Boleh Menghasilkan Tsunami

Menurut METMalaysia, tsunami sering bermula dengan satu kejadian yang berlaku jauh di bawah permukaan laut, iaitu apabila dasar lautan tiba-tiba berubah kedudukan dan mengganggu keseimbangan air di atasnya.

Dalam banyak kes, gempa bumi tektonik menjadi pencetus utama kerana ia mampu mengubah struktur kerak bumi, sama ada dengan mengangkat atau menurunkan dasar laut secara mengejut.

Namun begitu, tidak semua gempa bumi akan membawa kepada tsunami.

Hanya gempa bumi tertentu sahaja berpotensi mencetuskannya, iaitu yang mempunyai magnitud melebihi 6.5 magnitud, berlaku pada kedalaman kurang daripada 100 kilometer, dan terjadi di kawasan laut atau berhampiran laut.

Syarat ini penting kerana ia menentukan sama ada gangguan pada dasar laut cukup besar untuk menggerakkan jisim air di atasnya.

Apabila gempa bumi berlaku di dasar laut, air di kawasan tersebut tidak lagi berada dalam keadaan seimbang.

Perubahan mendadak pada dasar laut sama ada terangkat atau mendap akan menolak lautan dari kedudukan asalnya, lalu mencetuskan gelombang yang bergerak keluar dari pusat gangguan.

Gelombang ini terbentuk akibat usaha air untuk kembali ke keadaan seimbang di bawah pengaruh graviti.

Jika kawasan dasar laut yang terkesan itu luas, maka lebih besar jisim air yang terlibat, dan akhirnya tsunami akan terbentuk serta merebak ke seluruh arah lautan.

Kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia

Fakta Mengenai Tsunami

SK kongsikan fakta-fakta mengenai tsunami seperti berikut;

  • Ombak tsunami boleh bergerak merentasi Lautan Pasifik dalam masa kurang dari sehari.

  • Keadaan muka bumi di kawasan perairan dan pantai dapat memberi kesan ke atas saiz dan impak tsunami.

  • Ombak pertama yang melanda tidak semestinya ombak yang tertinggi dalam siri ombak tsunami.

  • Tsunami dapat bergerak dari lautan sehingga memasuki sungai.

  • Ombak tsunami juga dapat bergerak mengelilingi sesebuah pulau.

  • Paras air laut surut dengan tiba-tiba sehingga mendedahkan dasar laut berhampiran pantai sejurus sebelum kedatangan tsunami.

  • Apabila tsunami melanda, ia dapat membanjiri kawasan daratan sehingga 1 km atau lebih dari pantai.

  • Bahaya tsunami dapat berterusan sehingga beberapa jam selepas kedatangan ombak yang pertama.

  • Bahaya dan kebinasaan tsunami adalah kesan langsung daripada tiga faktor: kebanjiran, kesan ombak terhadap struktur binaan dan hakisan.

  • Puing yang dibawa oleh arus tsunami yang kuat juga menjadi punca bahaya kerana ia boleh menghentam bangunan, jeti dan kenderaan.

Langkah Keselamatan Gempa Bumi

Untuk memastikan keselamatan diri dan orang sekeliling, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas gempa bumi berlaku.

Sebelum Gempa Bumi

  • Periksa tahap keselamatan dan kenal pasti punca-punca bahaya seperti objek mudah bergerak

  • Rancang keselamatan dengan sediakan Pelan Kecemasan dan Pelan Komunikasi semasa kecemasan

  • Sediakan Beg Kecemasan dan letak di tempat strategik dan mudah dicapai

  • Minimumkan impak kewangan dengan menyusun dan menyimpan dokumen penting, kukuhkan kediaman/peralatan dan dapatkan perlindungan insurans jika perlu

Semasa Gempa Bumi

  • Laksanakan langkah TUNDUK, BERLINDUNG dan BERTAHAN semasa gegaran berlaku

  • Tingkatkan keselamatan dengan pengungsian (proses berpindah ke tempat selamat ketika kecemasan atau bencana) jika perlu, bantu mangsa yang cedera dan elakkan kecederaan atau kerosakan daripada berlanjutan

Selepas Gempa Bumi

  • Baik pulih kerosakan, dapatkan pemeriksaan kesihatan jika perlu dan bina semula komuniti

Kredit: Jabatan Meteorologi Malaysia

Langkah-Langkah Keselamatan Tsunami

Bagi mengurangkan risiko dan memastikan keselamatan diri serta orang sekeliling, beberapa langkah keselamatan perlu diberi perhatian apabila berdepan ancaman tsunami.

  • Tidak semua gempa bumi mengakibatkan tsunami, tetapi kebanyakannya adalah berpotensi menghasilkan gelombang tsunami. Apabila anda mengetahui gempa bumi telah berlaku, bersedialah untuk menerima amaran tsunami.

  • Teruskan berada di kawasan yang selamat sehingga pihak-pihak bertanggungjawab mengumumkan keadaan telah benar-benar selamat.

  • Kehadiran tsunami biasanya didahului dengan air laut yang surut dengan tiba-tiba. Ini adalah tanda-tanda semulajadi terhadap kehadiran tsunami dan perlu diambil perhatian oleh orang ramai.

  • Gelombang tsunami yang kecil pada suatu kawasan pantai mungkin boleh menjadi sangat besar beberapa meter sahaja darinya. Jangan ambil mudah pada gelombang tsunami yang kelihatan kecil.

  • Semua amaran tsunami yang dikeluarkan perlu diambil serius oleh orang ramai.

  • Semua tsunami berpotensi untuk menjadi berbahaya walaupun mungkin tidak memusnahkan semua kawasan yang dilaluinya.

  • Jangan sesekali pergi ke tepi pantai untuk melihat gelombang tsunami.

  • Berikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan, polis dan badan-badan kecemasan yang lain untuk menyelamatkan nyawa anda semasa berlaku keadaan cemas akibat tsunami.