Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan Tan Cheng Hoe sebagai Ketua Jurulatih Interim Pasukan Kebangsaan bagi menggantikan Peter Cklamovski.
Menurut FAM, pelantikan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman luas, rekod pencapaian serta pemahaman mendalam Tan Cheng Hoe terhadap landskap bola sepak tempatan dan antarabangsa.
FAM turut yakin bahawa kepakaran beliau akan menjadi aset penting dalam usaha memperkukuhkan prestasi skuad Harimau Malaya, selain memberikan suntikan baharu kepada pasukan dalam menghadapi cabaran di peringkat Asia dan antarabangsa.
Tan Cheng Hoe bukan nama asing dalam arena kejurulatihan negara.
Beliau memulakan kerjaya sebagai penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan dari 2005 hingga 2009, sebelum berkhidmat bersama skuad B-23 kebangsaan pada 2009 hingga 2010.
Beliau kemudian menyertai barisan kejurulatihan pasukan kebangsaan sebagai penolong jurulatih dari 2009 hingga 2013, dan kembali menggalas peranan sama pada 2017 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dari Disember 2017 hingga Disember 2021.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau membantu Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 2009 serta muncul juara Piala Suzuki AFF 2010 ketika bersama Datuk K. Rajagobal sebagai penolong jurulatih.
Sebagai ketua jurulatih, beliau membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2018.
Di peringkat kelab, beliau mencatat kejayaan bersama Kedah Darul Aman FC apabila membantu pasukan itu menjuarai Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017.
Kedah turut menjadi antara pasukan paling konsisten dalam Liga Malaysia di bawah bimbingannya.
Beliau juga pernah membimbing Selangor FC dari 2022 hingga 2024 sebelum berkelana ke Thailand untuk menerajui Police Tero FC.
Pada April 2025, jurulatih berusia 58 tahun kelahiran Alor Setar, Kedah itu kembali ke FAM sebagai Pengarah Teknikal Pasukan Kebangsaan.
FAM berharap pelantikan ini akan membantu memperkukuhkan kembali prestasi Harimau Malaya dalam usaha meningkatkan daya saing di pentas bola sepak Asia dan antarabangsa.