Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

SERDANG, 18 Ogos (Bernama) -- Atlet lontar peluru wanita Perlis, Farhana Izurein Faizal Amizul menutup penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dengan gemilang apabila meraih pingat emas sambil memecahkan rekod temasya pada saingan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.
Atlet berusia 19 tahun itu melakukan balingan sejauh 14.22 meter (m) pada percubaan terakhir untuk memperbaharui rekod temasya 13.39m milik Rahila Othman dari Johor yang dilakukan pada edisi 2010 di Melaka.
Anak kelahiran Kangar itu terlebih dahulu mencipta rekod temasya baharu pada percubaan kelima menerusi balingan 13.84m sebelum memperbaikinya kepada 14.22m pada percubaan keenam untuk mengesahkan emas.
Pingat perak menjadi milik atlet Johor Asyherina Kuja Anak Ujoh dengan catatan 13.76m, manakala Voon Pei Ling dari Sarawak meraih gangsa menerusi balingan 12.49m.
Terdahulu, Asyherina memecahkan rekod temasya sebanyak dua kali, masing-masing menerusi catatan 13.47m pada percubaan pertama sebelum memperbaikinya kepada 13.76m pada percubaan keempat.
Mengulas persaingan sengit itu, Farhana berkata sokongan rakan-rakan dan pengurus pasukan menjadi pembakar semangat untuknya menghasilkan balingan terbaik selepas menyedari percubaan awalnya tidak seperti yang diharapkan.
“Ini kali pertama saya buat 14 meter. Sebelum ini rekod saya 13.8m. Pada mulanya saya rasa macam balingan saya tidak menjadi.
“Lepas itu kawan-kawan dan pengurus semua beri sokongan, jadi saya lebih bersemangat untuk buat yang terbaik. Balingan keempat dan kelima saya berjaya menghasilkan catatan terbaik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pertandingan.
Beliau berkata kejayaan itu lebih bermakna kerana hadir pada penampilan ketiganya yang juga terakhir di pentas SUKMA.
“Kali pertama di Kuala Lumpur saya dapat nombor empat, kemudian di Sarawak saya menang emas dan sekarang dapat emas lagi,” katanya.
Selain lontar peluru, Farhana turut meraih pingat perak dalam acara lempar cakera pada temasya kali ini.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan