Feyenoord tidak akan membenarkan penyokong mereka menghadiri dua perlawanan di tempat lawan dalam saingan Eredivisie bulan depan susulan insiden bunga api yang mencederakan tujuh orang ketika bertemu Cambuur Leeuwarden, Ahad lalu.
Larang penyokong hadir dua aksi tempat lawan
Kelab Belanda itu memutuskan untuk melarang penyokong memasuki kawasan pelawat ketika Feyenoord berdepan NEC Nijmegen dan PEC Zwolle sebagai tindakan susulan terhadap insiden berkenaan.
Dalam kejadian di Leeuwarden, penyokong Feyenoord menyalakan sejumlah besar suar merah sebelum melontarkan bunga api, menyebabkan beberapa penyokong tuan rumah mengalami kecederaan termasuk melecur, kerosakan pendengaran dan kecederaan mata.
Insiden tersebut turut menyebabkan perlawanan dihentikan selama kira-kira 20 minit pada separuh masa pertama.
Pengurusan Feyenoord menyifatkan kejadian berkenaan sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali, selain berdepan kemungkinan dikenakan denda berat susulan tindakan penyokong mereka.
Keputusan itu bermakna skuad kendalian Giovanni van Bronckhorst perlu mengharungi dua aksi di tempat lawan tanpa sokongan penyokong sendiri, sekali gus menjadi tindakan tegas kelab terhadap tingkah laku yang boleh membahayakan orang lain dan mencemarkan nama pasukan.

