Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ronaldo, Messi Pun Tak Mampu Menewaskan Patrik - Kim Sang-Sik

Ronaldo, Messi
Kredit: ESPN

“Jika Cristiano Ronaldo atau Lionel Messi berada di sini, saya rasa mereka juga tidak mampu menjaringkan gol menentang Patrik.”

Ronaldo, Messi pun tak mampu menewaskan Patrik

Itu pujian luar biasa ketua jurulatih Vietnam, Kim Sang-Sik, kepada penjaga golnya, Lê Giang Patrik, selepas membantu pasukan itu menewaskan Thailand 2-0 dalam aksi pertama final Kejohanan ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala, Bangkok, Sabtu.

Kim berkata Patrik menjadi antara faktor utama Vietnam membawa pulang kemenangan penting selepas penjaga gol berusia 33 tahun itu menampilkan beberapa aksi menyelamat cemerlang untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.

“Dia menghalang tiga peluang yang sepatutnya menjadi gol.

“Persembahannya hari ini mungkin lebih baik daripada apa yang ditunjukkannya ketika menjalani latihan di bawah jurulatih penjaga gol, Lee Woon-Jae,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Patrik melakukan penyelamatan penting pada minit ke-36 ketika keputusan masih 0-0 apabila menepis percubaan deras kaki kiri Teerasak Poeiphimai dari dalam kotak penalti.

Selepas Vietnam mendahului dua gol, dia sekali lagi tampil cemerlang pada minit ke-71 untuk menafikan percubaan Chaiyaphon Otton dari luar kotak penalti selepas bola melantun dalam keadaan sukar dijangka.

Pada masa kecederaan pula, Patrik memastikan rekod tanpa bolosnya kekal apabila melakukan satu lagi penyelamatan menggunakan hujung jarinya untuk menepis percubaan voli Waris Choolthong yang hampir menerjah bahagian bawah palang.

Prestasi itu menyaksikan Patrik dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan, malah turut diakui jurulatih Thailand, Anthony Hudson, sebagai bukti bahawa pasukannya tidak beraksi terlalu buruk dalam perlawanan berkenaan.

Vietnam bagaimanapun memanfaatkan kelebihan menerusi dua pemain gantian, Nguyễn Hai Long dan Nguyễn Quang Hải, yang masing-masing menjaringkan gol dalam tempoh 10 minit selepas dimasukkan pada minit ke-58.

Kemenangan itu meletakkan Vietnam dalam kedudukan kukuh untuk mempertahankan kejuaraan menjelang aksi timbal balik di Stadium Mỹ Đình, Hanoi, Rabu ini.

Bagi Patrik, yang baru membuat penampilan pertama bersama Vietnam pada Julai lalu, kemenangan tersebut lebih penting daripada pujian yang diterimanya.

“Kami gembira dengan kemenangan ini. Kami membawa kemenangan yang sangat penting ke Vietnam untuk aksi kedua.

“Saya hanya menjalankan tugas. Saya cuba membantu pasukan dan saya gembira kerana kami menang serta tidak dibolosi.

“Saya perlu memberikan penghargaan kepada seluruh pasukan. Mereka berjuang dan berkorban begitu banyak. Ini bukan mengenai saya seorang, tetapi seluruh pasukan,” katanya kepada ESPN.

Patrik yang dilahirkan di Czechoslovakia sebelum mewakili Slovakia sehingga peringkat bawah 21 tahun, hanya memperoleh kelulusan untuk mewakili Vietnam selepas melalui tempoh menunggu yang panjang.

Kejohanan ASEAN 2026 juga merupakan kejohanan pertamanya bersama Vietnam dan setakat ini dia telah melakukan lapan penampilan antarabangsa.

Ditanya mengenai peluang mengangkat trofi pada Rabu ini, Patrik enggan terlalu awal meraikannya.

“Kami belum memilikinya lagi. Kami perlu kekal merendah diri dan menunggu sehingga aksi kedua.

“Sudah tentu, kami mahu menang dan membawa trofi itu kepada rakyat serta negara Vietnam,” katanya.

Intipati
  • Kim Sang-Sik memuji Patrik selepas Vietnam menewaskan Thailand 2-0 di Bangkok.
  • Patrik melakukan beberapa penyelamatan penting dan dinamakan pemain terbaik perlawanan.
  • Vietnam membawa kelebihan dua gol menjelang aksi timbal balik di Hanoi, Rabu ini.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan