Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Penganjuran Forum Kurator Perdana – Merentas Lautan Alam Melayu: Koleksi Maritim Sebagai Saksi Peradaban dan Pertukaran Budaya bukan sekadar menjadi medan perkongsian ilmu dalam bidang permuziuman, malah turut menyokong agenda memperkukuh perpaduan nasional menerusi pemeliharaan warisan dan pembangunan ilmu.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, forum berkenaan mencerminkan komitmen Jabatan Muzium Malaysia dalam melaksanakan program berkualiti melalui perancangan yang sistematik, penglibatan pelbagai pemegang taruh serta kerjasama strategik antara agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pengamal permuziuman.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Forum Kurator Perdana – Merentas Lautan Alam Melayu: Koleksi Maritim Sebagai Saksi Peradaban dan Pertukaran Budaya di ibu negara, hari ini.
Katanya, penyertaan warga permuziuman, ahli akademik, penyelidik dan pelajar sama ada secara fizikal mahupun dalam talian membuktikan semakin ramai pihak menyedari kepentingan memperkasakan bidang permuziuman serta pemeliharaan warisan negara.
Menurut beliau, forum tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk berkongsi ilmu dan kepakaran, malah merupakan antara inisiatif yang menyokong aspirasi Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkukuh perpaduan melalui pendekatan berteraskan ilmu, warisan dan kerjasama strategik.
“Pendekatan ini selaras dengan hasrat Kementerian Perpaduan Negara untuk memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi impak yang bermakna kepada masyarakat,” katanya.

Haslina berkata, pendekatan berasaskan ilmu, penyelidikan dan perkongsian kepakaran yang diketengahkan menerusi forum itu turut menyumbang kepada pembentukan Etos Nasional dengan meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap sejarah, warisan dan identiti negara sebagai asas pembinaan negara bangsa.
Katanya, penghayatan terhadap warisan kebangsaan melalui aktiviti penyelidikan, pendokumentasian dan perkongsian ilmu mampu menyemai semangat patriotisme serta meningkatkan rasa bangga, cinta dan tanggungjawab rakyat dalam memelihara khazanah negara.
Menurut beliau, forum berkenaan turut menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat daripada latar belakang berbeza untuk berkongsi pandangan, membina jaringan kerjasama dan memupuk persefahaman menerusi apresiasi terhadap warisan yang menjadi milik bersama.
Beliau berkata, penganjuran Forum Kurator Perdana bukan sahaja memperkukuh pembangunan sektor permuziuman negara, malah menjadi wadah yang menyokong agenda Kementerian Perpaduan Negara dalam melahirkan masyarakat yang beridentiti nasional, berjiwa patriotik serta terus memelihara kesepaduan sosial.
“Kementerian Perpaduan Negara sentiasa menyokong program yang menjurus kepada perpaduan rakyat, peningkatan semangat cintakan negara dan jati diri serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum.
“Saya yakin program keilmuan seperti ini mampu menyumbang kepada keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Haslina berharap forum berkenaan menjadi platform yang mampu mencetuskan idea baharu, memperkukuh jaringan profesional serta menghasilkan dapatan penyelidikan yang boleh menyumbang kepada pembangunan dasar dan strategi sektor permuziuman negara.
Menurut beliau, usaha memelihara sejarah, budaya dan warisan bukan hanya menjadi tanggungjawab Jabatan Muzium Malaysia, sebaliknya memerlukan penglibatan seluruh rakyat bagi memastikan identiti serta khazanah negara terus dipelihara untuk manfaat generasi akan datang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Muzium Malaysia atas kejayaan menganjurkan Forum Kurator Perdana 2026, selain mengucapkan terima kasih kepada barisan panel, moderator, peserta dan semua pihak yang menjayakan program tersebut.