Sebahagian kawasan di Seremban, Rembau dan Port Dickson berdepan gangguan bekalan air bermula hari ini hingga Khamis susulan kerja penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Terip dan LRA Sawah Raja.
Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) memaklumkan kerja berjadual itu membabitkan penyambungan paip dan injap di Fasa 1 dan 2 LRA Sungai Terip, selain penukaran injap di Rumah Pam Fasa 1 dan 2.
Menurut SAINS, kerja penyelenggaraan sistem elektrik di pencawang suis LRA berkenaan turut dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan.
Di Seremban, antara kawasan yang terjejas ialah Senawang, Rasah, Rahang, Ampangan, Seremban 2 dan Sikamat.
Bagi Rembau pula, kawasan terlibat termasuk Kampung Kundur Hilir, Taman Akasia Kundur, Exevalley Orchard Park, Pengkalan Durian, Kampung Sungai Radin, Kampung Sungai Timun Dalam dan Kampung Sungai Timun Luar.
Sementara itu, gangguan di Port Dickson melibatkan Ladang Tampin Linggi, seluruh Linggi, Pengkalan Kempas, Hospital Besar Port Dickson serta beberapa kawasan lain.
SAINS berkata bekalan air akan disalurkan semula selepas kerja penyelenggaraan di tapak selesai sepenuhnya, dengan proses pemulihan dilakukan secara berperingkat.
“Bagaimanapun, kawasan tinggi dan penghujung sistem agihan berkemungkinan mengalami tempoh pemulihan lebih lama,” menurut notis pemakluman yang dimuat naik SAINS menerusi Facebook.
Sehingga jam 12 tengah hari tadi, kemajuan kerja di LRA Sungai Terip mencapai 55 peratus, manakala kerja di LRA Sawah Raja, Rembau mencapai 35 peratus.
Dalam pada itu, SAINS memaklumkan lori tangki dan tangki statik akan disediakan sekiranya gangguan berlarutan melebihi 42 jam selepas tempoh penutupan.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh diajukan kepada Pusat Khidmat Pelanggan SAINS di talian 1-300-88-6982.

