Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Syed Saddiq Serah Sendiri Kad Jemputan Kahwin Kepada Muhyiddin

SADDIQ
Kredit: Facebook Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini hadir sendiri menyerahkan kad jemputan perkahwinannya kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Syed Saddiq, kediaman Muhyiddin menjadi lokasi pertemuan pertama mereka ketika beliau mula melibatkan diri dalam dunia politik.

“Dulu di rumah inilah saya pertama kali bertemu Tan Sri. Saya bermula kecil. Sekadar menjadi MC di salah satu program Tan Sri.

“Saya tidak pernah terbayang bahawa daripada pertemuan itu, perjalanan hidup saya akan berubah begitu banyak,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Syed Saddiq berkata, Muhyiddin kemudiannya memberikan ruang dan kepercayaan kepadanya sehingga beliau diberi peluang bersama-sama mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika berusia 23 tahun.

Malah, katanya, pada usia 25 tahun, Muhyiddin turut mencalonkan namanya untuk menjadi seorang Menteri.

Menurut Syed Saddiq, Muhyiddin juga pernah mengingatkannya mengenai satu keputusan yang berkemungkinan mengubah keseluruhan perjalanan hidupnya ketika beliau menerima biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford.

“Ketika saya mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di Universiti Oxford, Tan Sri antara insan yang meyakinkan saya supaya tidak pergi dan terus berada di Malaysia untuk berjuang,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata satu perkara yang tidak akan berubah ialah Muhyiddin merupakan antara insan yang membuka ruang kepada perjalanan politiknya.

“Daripada seorang anak muda yang baru mahu belajar tentang dunia politik, banyak peluang, pengalaman dan pelajaran pertama saya bermula di bawah kepimpinan beliau.

“Perjalanan selepas itu tidak selalunya mudah. Ada persetujuan, ada perbezaan. Ada ketika kami berjalan bersama, dan ada ketika kami memilih jalan yang berbeza,” katanya.

Beliau berkata, perbezaan politik tidak seharusnya memadamkan sejarah mahupun rasa terima kasih terhadap insan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup seseorang.

“Bertemu semula secara peribadi hari ini membuatkan saya tersenyum dan terkenang kembali begitu banyak perkara. Masa berlalu, keadaan berubah, tetapi setiap insan yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup kita tetap meninggalkan kesannya,” katanya.

Syed Saddiq berkata beliau akan memulakan lembaran baharu dalam hidup bersama Bella Astillah tidak lama lagi dan berbesar hati dapat hadir sendiri menjemput Muhyiddin serta Puan Sri untuk bersama-sama meraikan hari bahagia berkenaan.

“Berbeza politik tidak bermakna kita perlu melupakan budi, persahabatan dan sejarah yang pernah dibina bersama.

“Terima kasih, Tan Sri, atas peluang, kepercayaan dan segala pelajaran sepanjang perjalanan ini,” ujarnya.

Intipati
  • Syed Saddiq hadir sendiri menyerahkan kad jemputan perkahwinannya kepada Muhyiddin Yassin hari ini.
  • Beliau mengenang Muhyiddin sebagai antara individu yang membuka ruang perjalanan politiknya.
  • Syed Saddiq berkata perbezaan politik tidak memadamkan budi, persahabatan dan sejarah bersama.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan