Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gangguan Bekalan Elektrik Besar-Besaran Di Sepanyol, Portugal

Azizah Najib
sepanyol portugal gangguan elektrik
Kredit: Gian Marco Benedetto/ANADOLU/Anadolu via AFP

Gangguan Bekalan Elektrik Besar-Besaran Di Sepanyol, Portugal

Madrid – Gangguan bekalan elektrik besar-besaran berlaku di seluruh Sepanyol dan Portugal pada Isnin, mengakibatkan talian internet dan telefon bimbit tidak berfungsi, lapor AFP.

Gangguan tersebut turut menyebabkan perkhidmatan kereta api tergendala. Malah, mengakibatkan orang ramai terperangkap di dalam lif, lapor pihak berkuasa.

Ketika ini, kerajaan Sepanyol sedang berusaha mengenal pasti punca gangguan berkenaan. Perdana Menteri, Pedro Sanchez dilapor bergegas ke ibu pejabat pengendali rangkaian elektrik berkenaan untuk diberi penerangan lanjut.

Syarikat pengendali tersebut, Red Electrica memaklumkan pihaknya memerlukan enam hingga 10 jam bagi memulihkan bekalan elektrik di negara itu. Malah, pihak syarikat turut menggesa orang ramai untuk tidak membuat sebarang andaian berkenaan punca gangguan elektrik yang berlaku.

Terdahulu, tular di media sosial keadaan stesen metro yang dilanda kegelapan serta kereta api yang terhenti.

Beberapa gambar yang tular turut menunjukkan orang awam di pejabat menggunakan cahaya telefon bimbit untuk melihat keadaan sekitar.

Dalam pada itu, pihak berkuasa jalan negara, DGT turut mengarahkan penunggang motosikal untuk berhenti berikutan ketiadaan lampu jalan. Keadaan ini menyebabkan kenderaan bergerak perlahan bagi mengelakkan berlaku pelanggaran. Pegawai polis turut digerakkan untuk bertugas mengawal lalu lintas di persimpangan.

Sementara itu, wartawan AFP yang berada di Madrid dan Barcelona turut menyaksikan orang ramai keluar ke jalanan sambil cuba mendapatkan sambungan talian di telefon pintar masing-masing.

Malah laman peninjau aktiviti internet, Netblocks turut memaklumkan bahawa gangguan berkenaan menyebabkan berlaku banyak kehilangan infrastuktur digital negara berkenaan. Menurut syarikat berkenaan, capaian laman sesawang menurun kepada 17 peratus berbanding penggunaan biasa.

Di Portugal, pengendali Sistem Gas Negara (REN) memaklumkan keseluruhan Semenanjung Iberia terkesan akibat gangguan yang berlaku sekitar tengah hari.

Susulan itu, jurucakap mengesahkan Suruhanjaya Eropah telah menghubungi pihak Sepanyol dan Portugal bagi mengetahui punca sebenar gangguan berkenaan.

Sumber: AFP

BACA: Blok Asrama SMK Tinggi Setapak Terbakar

BACA: Penceramah Promosi Klorin Dioksida Antara Yang Berucap Di Resort Golf Trump