Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Glasgow 2026: Mohamad Syahmi Sumbang Emas Keenam Malaysia Pada Penampilan Pertama

Mohamad Syahmi
Kredit: Bernama

Glasgow 2026: Mohamad Syahmi Sumbang Emas Keenam Malaysia Pada Penampilan Pertama

GLASGOW, 29 Julai (Bernama) -- Atlet angkat berat negara Mohamad Syahmi Nor Ghazali melakar sejarah pada penampilan pertamanya di Sukan Komanwel selepas memenangi pingat emas bagi kategori 94 kilogram (kg) lelaki pada edisi Glasgow 2026 di sini hari ini.

Pada aksi di Scottish Event Campus Armadillo, pemenang pingat perak Sukan SEA 2025 itu tampil cemerlang untuk mengungguli saingan dengan jumlah angkatan keseluruhan 347kg, hasil 150kg dalam acara snatch dan 197kg dalam clean and jerk yang juga rekod baharu temasya.

Mohamad Syahmi mengatasi Alex Bellemarre dari Kanada yang meraih perak dengan angkatan 346kg selepas melakukan 159kg dalam snatch dan 187kg clean and jerk manakala gangsa menjadi milik Oliver Riley Saxton dari Australia selepas mencatat 336kg (156kg snatch dan 180kg clean and jerk).

Emas berkenaan turut menjadi pencapaian terbesar dalam karier atlet berusia 22 tahun itu setakat ini selepas kejayaannya pada Sukan SEA.

Kejayaan itu menyaksikan kem angkat berat negara terus cemerlang selepas membolot empat emas masing-masing menerusi Mohamad Aniq Kasdan dalam kategori 60kg lelaki, Muhammad Aznil Bidin (65kg lelaki), Muhammad Erry Hidayat (79kg) dan Muhammad Hafizuddin Ruslin dalam kategori 88kg lelaki.

Malaysia kini mengumpul keseluruhan enam emas termasuk yang disumbangkan jaguh lompat jauh para negara Datuk Abdul Latif Romly yang mengungguli saingan T20 lelaki.

Kontinjen negara turut mengumpul dua perak dan tiga gangsa masing-masing menerusi acara boling padang, powerlifting dan angkat berat.


Sumber:Bernama
Intipati
  • Mohamad Syahmi meraih emas kategori 94kg lelaki pada penampilan pertama Sukan Komanwel.
  • Beliau mencatat jumlah angkatan 347kg, termasuk rekod temasya 197kg clean and jerk.
  • Malaysia kini mengumpul enam emas, dua perak dan tiga gangsa di Glasgow 2026.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan