Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi hadis Rasulullah SAW yang menyentuh kepentingan menegakkan keadilan tanpa mengira kedudukan atau pangkat seseorang dalam masyarakat.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar memetik hadis riwayat al-Bukhari yang menjelaskan bagaimana umat terdahulu dibinasakan apabila golongan berkedudukan tinggi terlepas daripada hukuman, sedangkan golongan yang lemah dikenakan tindakan atas kesalahan sama.
Perkongsian itu turut disertakan dengan sekeping gambar memaparkan siluet beliau berlatarbelakangkan sebuah masjid.
“Daripada Aisyah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya yang membinasakan umat sebelum kamu ialah apabila orang yang berkedudukan tinggi dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya. Tetapi apabila orang yang lemah dalam kalangan mereka mencuri, mereka melaksanakan hukuman hudud ke atasnya.
“Demi Allah! Sekiranya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya,” menurut hadis yang dikongsikan beliau.
Hadis berkenaan merupakan riwayat al-Bukhari bernombor 3475.
Setakat tangkap layar hantaran itu dirakam, perkongsian berkenaan menerima lebih 950 perkongsian, kira-kira 17,000 tanda suka dan 3,600 komen.

