Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Graduan Bawa 70 Pingat Maraton Ketika Konvokesyen

graduan 70 pingat maraton
Gambar: Baidu via SCMP

Graduan Bawa 70 Pingat Maraton Ketika Konvokesyen

Seorang graduan di barat laut China mencuri perhatian ramai apabila tampil memikul sebatang galah yang dipenuhi lebih 70 pingat maraton dan acara larian jarak jauh ketika menghadiri majlis konvokesyennya baru-baru ini.

Menurut SCMP, Jin Yanwei, 24, menggunakan bakat berlari untuk membantu menampung kos pengajian dan meringankan beban kewangan keluarganya.

Majlis konvokesyen yang berlangsung pada 23 Jun lalu bertukar gamat apabila Jin, sejurus menerima sijil graduasinya daripada pihak universiti, turun dari pentas untuk mengambil sebuah galah yang dipenuhi puluhan pingat.

Beliau kemudian kembali ke pentas sambil memikul galah berkenaan bagi mempamerkan lebih 70 pingat yang dimenanginya menerusi pelbagai pertandingan maraton dan larian jarak jauh sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

Malah, beberapa lagi pingat turut digantung di lehernya sehingga mencetuskan sorakan dan tepukan gemuruh daripada pensyarah serta rakan-rakan graduan yang hadir.

Menurut laporan media tempatan, Jin bukanlah pelajar dalam bidang sukan. Sebaliknya, memperoleh semua pingat tersebut menerusi penyertaannya dalam pelbagai kejohanan maraton dan larian jarak jauh di seluruh China.

Berlari hampir setiap hari

Minat Jin terhadap maraton bermula pada 2021 dan sejak itu dia menjadikan larian sebagai rutin harian.

Dia berlari secara purata sejauh 15 kilometer setiap hari atau sekitar 350 hingga 400 kilometer sebulan. Dalam tempoh dua tahun sahaja, jumlah jarak larian yang direkodkannya mencecah 7,835 kilometer.

Kebanyakan hujung minggu pula dihabiskan dengan menyertai pelbagai pertandingan larian di seluruh negara.

Usahanya membuahkan hasil apabila meraih kemenangan pertama dalam acara maraton pada 2023 di sebuah bandar di China.

Pada tahun sama, Jin turut memenangi pingat emas acara larian 5,000 meter dalam Kejohanan Sukan Universiti Wilayah Shaanxi Ke-42.

Lari demi ringankan beban keluarga

Menurut Jin, selain kerana minat yang mendalam terhadap sukan larian, hadiah kemenangan daripada pertandingan turut menjadi sumber pendapatan untuk membiayai kehidupan sepanjang bergelar mahasiswa.

Katanya, dia tidak mahu ibu bapanya menanggung beban kewangan yang terlalu besar.

"Bukan mudah untuk ibu bapa saya mencari rezeki. Jika saya boleh memperoleh pendapatan melalui pertandingan larian bagi menampung kehidupan di universiti, sekurang-kurangnya saya dapat mengurangkan beban mereka," katanya.

Bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada latihan, Jin juga mengakui tidak pulang ke kampung halamannya di Daerah Luochuan selama tiga tahun.

Hampir berputus asa, tetapi terus melangkah

Mengimbas perjalanan sebagai pelari, Jin mengakui dia bukanlah seorang yang memiliki bakat semula jadi.

Sebaliknya, kejayaannya dibina melalui latihan yang konsisten dan pengorbanan masa lapang.

"Saya hanyalah orang biasa yang mencintai larian. Saya tiada bakat luar biasa, jadi saya menggunakan semua masa lapang untuk berlatih. Ketika orang lain keluar bersiar-siar atau bermain permainan video, saya memilih untuk berlari," katanya.

Jin mengakui ada ketika dia hampir berputus asa, namun tetap memaksa dirinya untuk terus melangkah.

"Pada banyak waktu saya terfikir untuk berhenti. Tetapi saya sentiasa berkata kepada diri sendiri supaya melangkah satu langkah lagi. Dengan semangat itu saya berjaya menamatkan setiap perlumbaan dan saya bangga dengan diri sendiri," katanya.

Beliau turut berharap kisahnya dapat menjadi inspirasi kepada pelari lain supaya tidak mudah menyerah kalah.

"Setiap titik peluh dan usaha yang dicurahkan tidak akan sia-sia," katanya.

Mahu terus berbakti selepas tamat pengajian

Selepas menamatkan pengajian, Jin memaklumkan beliau akan menyertai Program Barat China sebagai sukarelawan untuk berkhidmat di kawasan luar bandar dan komuniti kurang membangun, namun tidak memperincikan tugas yang bakal dilaksanakan.

Kisahnya turut mendapat perhatian meluas di media sosial China.

Seorang pengguna menyifatkan lebih 70 pingat yang dimiliki Jin jauh lebih bermakna daripada sebuah tesis akademik.

"Pingat-pingat ini lebih hebat daripada mana-mana tesis," tulis pengguna itu.

Seorang lagi pengguna berkata, sesiapa yang pernah menyertai maraton pasti memahami betapa berharganya setiap pingat tersebut.

"Orang yang pernah berlari maraton tahu betapa sukarnya memperoleh pingat-pingat ini. Memang wajar dia berbangga dengan pencapaiannya," katanya.