Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Niat sekadar bermain sorok-sorok bersama rakan ketika kecil akhirnya membawa kepada perpisahan selama 35 tahun apabila seorang lelaki pekak dan bisu dari China akhirnya ditemukan semula bersama keluarga kandungnya.
Menurut laporan, Lei Zeqing berjaya bertemu semula dengan bapanya, abang dan kakaknya pada 11 Jun lalu selepas ahli keluarganya datang dari wilayah Henan ke Shenzhen.
Difahamkan, kejadian bermula pada tahun 1991 apabila Lei yang ketika itu masih kecil bermain sorok-sorok bersama rakan-rakannya sebelum secara tidak sengaja menyelinap masuk ke dalam sebuah kereta api.
Namun, tanpa disedari, dia tertidur di bawah tempat duduk sebelum kereta api itu bergerak dan membawanya jauh dari kampung halaman.

Apabila terjaga, Lei mendapati dirinya berada di tempat yang asing dan tidak dikenali.
Keadaan menjadi lebih sukar kerana dia tidak mampu bercakap dan mempunyai masalah pendengaran, sekali gus menyukarkannya untuk meminta bantuan atau menjelaskan identitinya.
Sejak itu, Lei hidup sebagai gelandangan di sekitar stesen kereta api Shenzhen.
Nasibnya berubah apabila dia bertemu seorang wanita yang dianggap sebagai “ibu” pertamanya di Shenzhen yang mengajarnya menulis.
Lima tahun kemudian, wanita itu berpindah ke Hong Kong, namun Lei sekali lagi dipertemukan dengan insan baik hati.
Seorang pemilik restoran dikenali sebagai Hong Qingxian mengambilnya bekerja, menyediakan tempat tinggal, makanan dan membantunya meneruskan kehidupan.
Hong dan isterinya menjaga Lei seperti anak sendiri selama hampir tiga dekad walaupun hidup dalam serba sederhana.
Menurut Hong, dia sering menasihati Lei supaya menyimpan wang dan terus berusaha mencari keluarga kandungnya.
Lei yang tidak pernah berputus asa turut berkongsi mesej pencarian keluarganya di media sosial selain mengembara ke beberapa wilayah bagi mencari petunjuk berdasarkan ingatan zaman kecil.
Usahanya akhirnya berhasil apabila abangnya, Lei Zehu yang juga pekak dan bisu, secara kebetulan menemui mesej pencarian tersebut dalam satu aplikasi sembang.
Apa yang lebih menyentuh hati, abangnya mengenali Lei menerusi cara unik adiknya menulis nama secara terbalik, tabiat yang masih dikekalkan sejak kecil.

Selepas beberapa perbualan dan padanan memori, ujian DNA dilakukan dengan Hong sendiri menemani Lei ke balai polis.
Dua jam selepas pertemuan penuh emosi itu, keputusan DNA mengesahkan mereka benar-benar mempunyai pertalian darah.
Keluarga Lei turut menzahirkan penghargaan kepada Hong dan isterinya kerana menjaga Lei selama ini.
“Terima kasih kerana menjaga adik saya seperti anak sendiri walaupun keadaannya begitu,” kata kakaknya.
Lei pula berjanji akan terus berbakti bukan sahaja kepada keluarga kandungnya, tetapi juga kepada “ibu bapa” di Shenzhen yang banyak membantunya selama ini.
Kisah itu mengundang perhatian ramai netizen yang menyifatkan Lei sangat bertuah kerana bukan sahaja berjaya menemui semula keluarga kandung, malah turut dipertemukan dengan keluarga angkat yang ikhlas menjaganya selama ini.