Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Permainan video paling dinanti tahun ini, Grand Theft Auto VI (GTA 6) kini rasmi dibuka untuk pra-tempahan di seluruh dunia dengan harga bermula £69.99 (sekitar RM400) bagi edisi standard, lapor BBC.
Menurut Rockstar Games, edisi premium pula ditawarkan pada harga £89.99 (sekitar RM515), manakala di Amerika Syarikat, permainan itu dijual pada harga AS$79.99 untuk versi biasa dan AS$100 bagi versi premium.
Apa yang menarik perhatian ramai, Rockstar turut mengesahkan versi fizikal permainan itu tidak akan disertakan cakera, sebaliknya hanya mengandungi kod muat turun digital di dalam kotak.
Perkara itu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan peminat, terutama pengumpul permainan fizikal yang mempersoalkan nilai pembelian tanpa cakera serta isu jual semula.
Bagaimanapun, wartawan permainan video bebas, Vic Hood menyifatkan harga tersebut masih munasabah bagi sebuah permainan berskala besar seperti GTA 6.
Menurutnya, keputusan untuk tidak menyertakan cakera mungkin membantu Rockstar mengurangkan aktiviti jual beli semula selain mengelakkan kebocoran kandungan sebelum pelancaran rasmi.
GTA 6 dijadual dilancarkan pada 19 November ini untuk konsol PlayStation 5 serta Xbox Series X and Series S.
Pemain yang membuat pra-tempahan digital boleh mula memuat turun awal permainan bermula 12 November bagi memastikan akses terus pada hari pelancaran.
Edisi “Ultimate” pula akan hadir dengan kandungan tambahan termasuk lebih banyak kenderaan, senjata dan pakaian eksklusif untuk watak dalam permainan.
GTA 6 juga bakal mencipta sejarah sebagai siri pertama francais itu menampilkan watak utama wanita dalam dunia 3D, iaitu Lucia, bersama pasangannya Jason.
Sejak diumumkan pada 2022, pembangunan GTA 6 berdepan pelbagai cabaran termasuk insiden penggodaman dan kebocoran maklumat sehingga menyebabkan jadual pelancarannya beberapa kali ditunda.
Sebagai rekod, Grand Theft Auto V yang dilancarkan pada 2013 telah terjual hampir 230 juta unit di seluruh dunia, sekali gus menjadikannya antara permainan paling laris sepanjang zaman.