MELAKA, 16 Jan — Pengguna elektrik di Melaka digalak menggunakan aplikasi myTNB untuk memantau penggunaan elektrik di kediaman atau premis perniagaan masing-masing, selain menggunakannya untuk pembayaran bil, kata Ketua Retail Melaka, Tenaga Nasional Bhd (TNB) Khairizam Ibrahim.
Beliau berkata selain menguruskan akaun milik sendiri, pengguna juga boleh menambah dan menguruskan akaun milik orang tersayang seperti ibu bapa di kampung, sekali gus memudahkan urusan TNB serta mengurangkan kontak dengan orang ramai.
“Bagaimanapun, sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TNB Melaka membuka kesemua enam Kedai Tenaga di negeri ini,” katanya dalam satu temu bual bersama Melakafm hari ini.
Untuk rekod, setakat 31 Dis tahun lepas, jumlah pengguna aplikasi myTNB di Melaka adalah 180,342 pelanggan, iaitu 50 peratus daripada keseluruhan 357,133 pelanggan di negeri ini.
Sementara itu, Khairizam berkata segelintir pengguna di Melaka dijangka akan menerima bil secara anggaran, sekiranya pembaca meter TNB tidak dapat memasuki atau mengakses meter di kediaman atau premis mereka akibat pagar tertutup, berkunci, hujan lebat atau banjir.
“Sekiranya penggunaan elektrik bagi isi rumah meningkat daripada kebiasaan semasa tempoh PKP, maka jumlah bil yang akan pelanggan terima bagi penggunaan elektrik tersebut mungkin meningkat daripada biasa,” katanya.
Pada 13 Jan lepas, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata Operasi Kedai Tenaga dan bacaan meter elektrik oleh TNB diteruskan seperti biasa, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP dan darurat.
— BERNAMA