Gunung Anak Krakatau di wilayah Selat Sunda dilaporkan meletus sehingga menghasilkan bunyi gemuruh dan fenomena lava fountain atau pancutan lava, lapor detiknews.
Status gunung berapi itu masih berada pada Tahap III (Siaga), manakala orang ramai diminta tidak melakukan sebarang aktiviti dalam radius tiga kilometer dari kawah aktif.
Memetik laman magma.esdm.go.id milik Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), laporan berkenaan disediakan bagi tempoh enam jam bermula pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi waktu tempatan pada Sabtu.
Keadaan cuaca dilaporkan berawan hingga mendung dengan tiupan angin lemah hingga sederhana ke arah barat laut.
“Berdasarkan pemerhatian visual, gunung berapi dapat dilihat dengan jelas sebelum dilitupi kabus tahap 0-III. Asap dari kawah tidak dapat diperhatikan,” menurut pemerhati gunung berapi, Rioboniek Situmorang dalam laporannya.
Menurut laporan itu, letusan berlaku secara berterusan sejak Jumaat pada pukul 11.07 malam waktu tempatan dan masih berlangsung ketika laporan berkenaan disediakan.
“Keadaan terkini Gunung Anak Krakatau adalah letusan berterusan yang berlangsung sejak 4 September 2026, pukul 11.07 malam waktu tempatan sehingga laporan ini dibuat,” katanya.
Selain itu, fenomena lava fountain atau pancutan lava turut berlaku di Gunung Anak Krakatau sehingga bunyi dentuman dan gemuruh dapat didengari dari Pos Pemerhatian Gunung Api (PGA) Pasauran di Kabupaten Serang.
Sementara itu, berdasarkan pemantauan aktiviti seismik, satu gempa letusan atau erupsi direkodkan dengan amplitud 70 milimeter dan tempoh gegaran selama 21,600 saat.
“Tahap aktiviti Gunung Anak Krakatau berada pada Tahap III (Siaga).
“Masyarakat, pengunjung, pelancong dan pendaki dinasihatkan supaya tidak menghampiri Gunung Anak Krakatau atau melakukan sebarang aktiviti dalam radius tiga kilometer dari kawah aktif,” menurut laporan itu.

