Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gunung Balatukan Di Filipina Bakal Jadi Taman Warisan ASEAN Ke-70

Gunung Balatukan
Kredit: PNA

Taman Semula Jadi Banjaran Gunung Balatukan di Mindanao, Filipina, hampir diiktiraf sebagai Taman Warisan ASEAN (AHP) ke-70 di rantau ini, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Pusat Biodiversiti ASEAN (ACB) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan taman semula jadi berkenaan, bersama Tapak Ramsar Prek Toal di Kemboja, telah mendapat sokongan untuk menerima pengiktirafan tersebut.

Gunung Balatukan bakal jadi Taman Warisan ASEAN ke-70

Kedua-dua pencalonan itu kini menunggu “kelulusan ad referendum” daripada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Alam Sekitar.

Pengarah Eksekutif ACB, Jerome Montemayor, berkata perkembangan itu membuktikan komitmen rantau ASEAN dalam memelihara serta memulihkan kekayaan alam semula jadi yang dimiliki.

“Ini adalah bukti komitmen rantau ini untuk memelihara dan memulihkan khazanah alam semula jadi yang begitu besar dengan memperkukuh kesalinghubungan, meningkatkan pengurusan, berkongsi amalan terbaik, membina kapasiti serta membangunkan aktiviti kesedaran yang inovatif,” katanya.

Taman Semula Jadi Banjaran Gunung Balatukan di Filipina yang terletak di bahagian timur Misamis Oriental merupakan Kawasan Biodiversiti Utama (Key Biodiversity Area) dan kawasan penting bagi burung (Important Bird Area).

Kawasan berkenaan terkenal dengan tahap endemisme yang tinggi dalam pelbagai kumpulan taksonomi, selain menjadi habitat kepada flora dan fauna yang sangat terancam, termasuk spesies helang Filipina (Pithecophaga jefferyi) dan bunga Rafflesia (Rafflesia verrucosa).

Taman semula jadi itu turut mempunyai kepentingan budaya dan dianggap sebagai kawasan suci bagi masyarakat pribumi Higaonon.

Sementara itu, Tapak Ramsar Prek Toal di Kemboja terkenal sebagai antara kawasan pembiakan burung air terbesar di rantau ini serta kawasan teras terbesar dalam Rizab Biosfera Tonle Sap yang diiktiraf UNESCO.

Ekosistem Prek Toal pula bergantung kepada sistem denyutan banjir unik Sungai Mekong yang mempengaruhi perubahan hidrologi mengikut musim.

Sebagai sebahagian daripada proses penilaian pencalonan AHP, ACB bekerjasama dengan penilai teknikal, Jabatan Alam Sekitar dan Sumber Asli Filipina serta Kementerian Alam Sekitar Kemboja bagi menjalankan misi penilaian lapangan di kedua-dua lokasi itu pada awal tahun ini.

Menurut ACB, pihaknya turut menerima tiga lagi pencalonan AHP dari Laos dan Thailand yang kini dalam proses penilaian dokumen serta penyelarasan bersama agensi kerajaan berkaitan.

Ketika ini, Asia Tenggara mempunyai 69 Taman Warisan ASEAN yang diiktiraf, terdiri daripada 47 taman daratan, 12 taman marin dan 10 taman tanah lembap, meliputi kira-kira 11.9 juta hektar kawasan perlindungan.

Sumber:PNA
Intipati
  • Gunung Balatukan hampir diiktiraf sebagai Taman Warisan ASEAN ke-70 di rantau ini.
  • Prek Toal di Kemboja turut mendapat sokongan dan menunggu kelulusan menteri ASEAN.
  • Asia Tenggara kini mempunyai 69 Taman Warisan ASEAN meliputi 11.9 juta hektar.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan