Apabila berdepan situasi kecemasan, sudah tentu keluarga menjadi orang pertama yang kita hubungi untuk mendapatkan bantuan.
Namun, apabila perkara tidak dijangka berlaku di kawasan yang jauh daripada keluarga, kehadiran orang tidak dikenali yang sudi menghulurkan bantuan sememangnya amat dihargai.
Begitulah yang dilalui seorang guru, Cikgu Vinosha, ketika dalam perjalanan dari Butterworth ke Nibong Tebal pada awal pagi untuk ke sekolah tempat dia mengajar.
Guru Terharu Lelaki Baru Selesai OT 7 Hari Bantu Tukar Tayar

Dalam satu hantaran di Threads, Cikgu Vinosha berkongsi bahawa dia terkandas di lebuh raya menuju ke Nibong Tebal selepas tayar keretanya pancit.
“Kereta saya pancit dan saya terkandas seorang di atas lebuh raya. Suami saya dalam perjalanan dari Butterworth ke Nibong Tebal dan ambil masa dalam 45 minit untuk sampai,” tulisnya.
Ujarnya, daripada banyak kenderaan yang melalui kawasan tersebut, dua lelaki, Nabil dan Shafiq, mengambil keputusan untuk berhenti dan menghulurkan bantuan.
“Nabil bantu kawal trafik dan Shafiq bantu saya tukar tayar,” katanya.
Lebih mengharukan, Shafiq sebenarnya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja lebih masa selama tujuh hari dan hari tersebut merupakan hari cutinya.
“Shafiq boleh sahaja balik ke rumah dan berehat, tapi dia ambil keputusan untuk berhenti dan bantu saya, orang yang tidak dikenali. Dia sangat baik!” ujarnya.
Tambahnya, kejadian tersebut menjadi gambaran bagaimana masyarakat di Malaysia, tanpa mengira bangsa dan kaum, sentiasa ada yang sudi menghulurkan bantuan ketika orang lain berada dalam kesusahan.

“Terima kasih banyak-banyak, Nabil dan Shafiq! Semoga anda berdua diberkati dengan rezeki dna kebahagian yang berpanjangan,” katanya.
Dalam satu hantaran susulan, Cikgu Vinosha kemudian menceritakan dengan lebih terperinci mengenai kejadian yang menimpanya itu.
Menurutnya, dia menyedari sesuatu tidak kena ketika memandu selepas stereng keretanya bergegar sebelum merasakan tayarnya mengalami masalah.
Dia kemudian mengambil keputusan untuk berhenti di tepi jalan bagi memeriksa keadaan kereta dan memastikan sama ada sangkaannya itu benar.
Hasil pemeriksaan mendapati tayar keretanya sememangnya pancit, namun dia tidak mahu berhenti terlalu lama di situ kerana keadaan masih gelap sekitar jam 6.15 pagi.
“Ia sangat gelap di atas lebuh raya berdekatan Sungai Bakap. Saya dah lalu RNR Sungai Bakap jadi saya tak rasa selamat untuk tunggu di situ.
“Jadi saya ambil keputusan untuk terus memandu sehingga saya melepasi Tol Jawi sebab suami saya juga cakap tak selamat untuk tunggu di situ.
“Dia suruh saya pergi ke tempat yang selamat, yang terang sebab dia dalam perjalanan,” katanya.
Menurut Cikgu Vinosha, suaminya akan datang ke lokasi tersebut dan mereka akan bertukar kereta sementara suaminya menguruskan tayar kereta berkenaan.
Namun, keadaan menjadi lebih mencemaskan apabila sebaik sahaja melepasi Tol Jawi, semua lampu kecemasan pada papan pemuka keretanya mula menyala menyebabkan dia terpaksa berhenti.
“Semasa lalu Tol Jawi, tayar kereta saya memang dah tak boleh pakai. Dan tiba-tiba, semua lampu kecemasan dalam kereta saya mula menyala.
“Saya jadi gementar, kenapa semua lampu menyala. Saya kemudian berhenti memandu dan tunggu suami saya,” katanya.
Ketika sedang menunggu, Nabil yang melalui kawasan tersebut menyedari keadaan Cikgu Vinosha sebelum membuat pusingan U untuk menghulurkan bantuan.
Nabil kemudian meminta Cikgu Vinosha memandu sedikit ke hadapan supaya dia dapat membantu menukar tayar keretanya.
Bagaimanapun, kereta tersebut tidak lagi dapat digerakkan kerana tayar yang pada awalnya hanya pancit sudah pecah.
Ketika mereka sedang memikirkan cara paling selamat untuk menukar tayar berkenaan, Shafiq turut tiba di lokasi untuk membantu.

Shafiq kemudian meminta Nabil menjaga lalu lintas supaya dia dapat menukar tayar kereta tersebut dengan lebih selamat.
Ketika proses menukar tayar berlangsung, Cikgu Vinosha menyedari Shafiq masih memakai pakaian seragam kerjanya sebelum bertanya sama ada lelaki itu baru pulang dari tempat kerja.
Shafiq kemudian memaklumkan bahawa dia sememangnya baru pulang bekerja selepas tujuh hari bekerja tanpa cuti dan hari tersebut merupakan hari cutinya.
Jawapan tersebut membuatkan Cikgu Vinosha berasa sangat terharu kerana Shafiq sebenarnya boleh sahaja meneruskan perjalanan pulang untuk berehat, namun memilih untuk berhenti dan membantunya.

