Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Haim Hilman Didakwa Buat Kenyataan Cetus Kebimbangan Awam

Haim Hilman
Kredit: Bernama

Haim Hilman Didakwa Buat Kenyataan Cetus Kebimbangan Awam

SEREMBAN, 25 Jun (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang boleh mencetuskan kebimbangan awam, pada 13 Jun lepas.

Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah selaku Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, Haim Hilman, 53, didakwa mengeluarkan kenyataan dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam sehingga berkemungkinan boleh menjejaskan ketenteraman awam antara 8 malam hingga 12 tengah malam, 13 Jun lepas di Markas PAS Seremban, Jalan Jelebu di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan Ku Hayati Ku Haron yang mengendalikan kes berkenaan memohon agar OKS dikenakan jaminan RM10,000 dan syarat tambahan pasportnya diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Mohd Fauzi Che Abu yang mewakili Haim Hilman memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 serta memaklumkan OKS yang merupakan Exco kanan Kerajaan Negeri Kedah, kerap menggunakan pasport bagi menjalankan urusan rasmi kerajaan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 15 Jun lepas, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius tuduhan tidak berasas Haim Hilman berkaitan sistem kemasukan pelajar ke universiti awam tanpa melalui saluran Unit Pusat Universiti (UPU).