Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Hannah Yeoh Kenang Kelembutan Dan Kewibawaan Tun Dr Hasmah

HANNAH
Tun Dr Hasmah Mohd Ali

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengenang Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali sebagai sosok yang memiliki keanggunan, keyakinan dan kekuatan tanpa perlu diperagakan atau ditonjolkan.

Hannah berkata, sebelum mengenali Allahyarhamah secara peribadi, beliau mengingati isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai individu yang sering bersama pasukan badminton negara serta menyayangi mereka dengan tulus.

Kredit; Facebook Hannah Yeoh

Menurutnya, bertahun-tahun kemudian, anggota pasukan Piala Thomas 1992 masih mengingati kasih sayang yang dicurahkan Allahyarhamah kepada mereka.

“Pilihan raya 2018 yang mengubah landskap negara membuka ruang untuk saya mengenali beliau dengan lebih dekat. Bukan sekadar dari jauh tetapi sebagai seorang insan.

“Beliau adalah keanggunan yang tidak perlu diperagakan. Keyakinan yang tidak perlu dilaungkan. Kekuatan yang tidak perlu ditunjukkan dengan suara yang keras,” katanya menerusi satu kenyataan.

Hannah berkata, tutur kata Allahyarhamah sentiasa lembut, namun setiap kali berbicara, orang akan memberikan perhatian, menggambarkan kewibawaan yang lahir daripada ketenangan dan bukannya kelantangan.

Beliau turut mengenang Allahyarhamah sebagai individu yang sentiasa berada di sisi Tun Dr Mahathir ketika menghadiri ceramah, majlis atau mesyuarat.

“Hadir bukan sekadar menemani tetapi menyokong. Setia berjalan bersama sehingga kedua-duanya mencecah usia 100 tahun. Ikatan seperti itu semakin sukar kita temui,” katanya.

Kebaikan Hati Tidak Mudah Menghukum

Menurut Hannah, perkara yang paling diingatinya mengenai Allahyarhamah ialah kebaikan hati yang tidak mudah menghukum seseorang.

Sebaliknya, kata beliau, Allahyarhamah gemar bertanya mengenai diri seseorang dan benar-benar mendengar jawapan yang diberikan.

Katanya, dalam perbualan, Allahyarhamah juga sering menghulurkan tangan sebagai tanda menenangkan dan meyakinkan, sekali gus membuatkan orang berasa selesa walaupun berada di hadapan seorang tokoh yang memiliki kewibawaan besar.

“Semoga Tuhan mengurniakan kekuatan kepada Tun Dr Mahathir serta anak-anak mereka untuk melalui kehilangan yang begitu besar ini.

“Terima kasih kerana berkongsi seorang Tun Dr Siti Hasmah dengan Malaysia,” katanya.

Intipati
  • Hannah Yeoh menyifatkan Tun Dr Hasmah sebagai tokoh anggun, yakin dan berwibawa.
  • Beliau mengenang sokongan setia Dr Hasmah kepada Tun Dr Mahathir dalam pelbagai acara.
  • Hannah turut menonjolkan kebaikan hati Dr Hasmah yang mendengar tanpa mudah menghukum.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan