Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Harga Diesel Bersubsidi Di Seluruh Negara Diturunkan Berkuat Kuasa Julai Ini
Kerajaan mengumumkan penurunan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak, yang akan berkuat kuasa mulai Julai ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan rakyat di Sabah dan Sarawak turut menikmati kadar harga diesel yang sama seperti pengguna di Semenanjung Malaysia.
"Ini bagi memastikan rakyat Sabah dan Sarawak turut mendapat manfaat. Pelaksanaan penyelarasan harga ini akan bermula pada Julai," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada Pelabuhan Persekutuan kepada Pelabuhan Negeri di Menara Kidurong, Bintulu, hari ini.
Menurut Anwar, penurunan harga itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan sistem penyasaran subsidi diesel yang diseragamkan di seluruh negara menggunakan mekanisme pengesahan MyKad, selaras dengan pendekatan yang digunakan menerusi program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Beliau menjelaskan penggunaan MyKad akan memastikan subsidi diesel hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak, sekali gus mengurangkan ketirisan serta membendung aktiviti penyeludupan bahan api, khususnya di kawasan sempadan.
Tambah beliau, mekanisme baharu itu membolehkan kerajaan menyalurkan subsidi secara lebih bersasar tanpa menjejaskan kebajikan golongan yang benar-benar memerlukan.
Sebelum ini, pada Mac lalu, Anwar memaklumkan kerajaan mengekalkan harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak pada kadar RM2.15 seliter walaupun kos subsidi meningkat susulan kenaikan harga minyak di pasaran dunia.
Dalam kenyataan berasingan, Kementerian Kewangan memaklumkan pembaharuan itu akan memastikan rakyat Malaysia menikmati kadar harga diesel serta kaedah pembelian yang sama di seluruh negara.
Menurut kementerian itu, subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara serta individu yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga pasaran tanpa subsidi.
Ketika ini, diesel dijual pada harga bersubsidi RM2.15 seliter di semua stesen minyak di Sabah dan Sarawak, manakala harga runcit tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia ialah RM4.37 seliter.
Melalui pelaksanaan sistem baharu itu, harga diesel di Sabah dan Sarawak akan diselaraskan dengan mekanisme yang digunakan di Semenanjung. Langkah ini juga memastikan bukan warganegara tidak lagi menikmati subsidi diesel kerajaan.
Pada masa sama, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak yang memiliki kenderaan diesel akan menikmati penurunan harga daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter.
Kementerian Kewangan turut memaklumkan bahawa butiran lanjut mengenai pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel itu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, esok.