Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Harga Petrol & Diesel Tanpa Subsidi Naik Mulai Esok

Harga Petrol & Diesel
Kredit: Bernama

Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik bagi tempoh 20 hingga 26 Ogos.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), harga RON97 naik sebanyak 10 sen, menjadikan harga terbaharu RM4.25 seliter.

Manakala RON95 tanpa subsidi pula naik 15 sen kepada RM3.77 seliter.

Bagi diesel tanpa subsidi, harga terbaharu adalah RM4.67 seliter selepas meningkat sebanyak 20 sen.

Harga petrol & diesel tanpa subsidi naik

MOF berkata harga terbaru itu ditetapkan berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), seiring dengan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Selain itu, ketidakstabilan geopolitik dunia yang berlarutan terus meningkatkan risiko terhadap harga dan bekalan minyak mentah dunia.

“Selepas 172 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia.

“Setakat ini, Amerika Syarikat dan Iran masih belum mencapai kata sepakat mengenai penyelesaian konflik tersebut.

“Sementara itu, konflik Rusia-Ukraine turut menambah tekanan terhadap bekalan petroleum dunia.

“Dalam tempoh pengiraan APM, Ukraine telah menyerang sebuah loji penapisan minyak di Rusia, yang merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar dunia,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah MOF, selagi konflik di Asia Barat belum mencapai penyelesaian muktamad dan aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara.

Ketidaktentuan yang berpanjangan juga berisiko memberi kesan lebih mendalam terhadap bekalan produk petroleum di seluruh dunia.

Kredit: MOF

“Kerajaan MADANI bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.

“Namun begitu, rakyat diseru agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi,” ujarnya.

Sementara itu, melalui sistem subsidi bersasar yang disediakan, kerajaan terus melindungi pengguna yang layak daripada kenaikan harga pasaran.

Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.78 seliter, sekitar 47% daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa.

Pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.57 seliter atau 55 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.

Intipati
  • Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi naik mulai 20 hingga 26 Ogos.
  • Menurut MOF, RON97 naik 10 sen, manakala RON95 meningkat sebanyak 15 sen.
  • Diesel tanpa subsidi turut naik 20 sen bagi tempoh harga mingguan tersebut.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan