Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing naik 5 sen bagi tempoh 27 hingga 2 September ini.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), harga RON97 ditetapkan pada RM4.30 seliter berbanding RM4.25 seliter, RON95 tanpa subsidi pada harga RM3.82 seliter berbanding RM3.77.
Manakala diesel tanpa subsidi pula ditetapkan pada RM4.72 seliter berbanding RM4.67 sebelum ini.
Harga petrol & diesel tanpa subsidi naik
MOF berkata harga terbaru itu ditetapkan berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), seiring dengan kenaikan harga minyak mentah dunia.
Selain itu, ketidakstabilan geopolitik dunia yang berlarutan terus meningkatkan risiko terhadap harga dan bekalan minyak mentah dunia.
“Sekatan trafik di Selat Hormuz yang berterusan terus mengekang bekalan minyak dunia. Selepas 179 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, sekitar 290 juta daripada 400 juta tong minyak yang dipersetujui untuk dilepaskan daripada simpanan kecemasan negara anggota Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) telah disalurkan ke pasaran setakat Julai 2026.
“Penyusutan penampan bekalan ini meningkatkan risiko tekanan harga sekiranya gangguan berterusan.
“Pada masa sama, gangguan terhadap kapasiti penapisan di Asia Barat dan Rusia terus mengurangkan bekalan produk petroleum bertapis. Keadaan ini memberi tekanan lebih ketara terhadap harga diesel berbanding petrol, berikutan pasaran diesel global yang semakin ketat.
“Walaupun harga minyak mentah dunia menurun pada penghujung tempoh pengiraan APM, penurunan tersebut belum mencukupi untuk mengimbangi paras harga yang lebih tinggi bagi sebahagian besar minggu sebelumnya.
“Selagi aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal dan ketidaktentuan geopolitik berterusan, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara dalam tempoh terdekat,” maklum MOF.
Kerajaan MADANI bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin, termasuk dengan mengekalkan subsidi bersasar BUDI MADANI bagi pengguna yang layak.
“Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.83 seliter, sekitar 48% daripada harga RON95 tanpa subsidi semasa. Bagi pengguna yang layak di bawah BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) pula, Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.62 seliter, atau 56% daripada harga diesel tanpa subsidi.
“Dalam keadaan geopolitik yang kekal tidak menentu, rakyat diseru agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi.
“Melalui BUDI95 dan BUDI Diesel, rakyat Malaysia yang layak terus boleh membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada kelayakan dan baki kelayakan bulanan masing-masing,” maklumnya.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
