Pasukan penyelamat terus bergelut dengan timbunan lumpur dan serpihan pada hari keenam operasi mencari dan menyelamat (SAR) susulan banjir besar seperti tsunami yang melanda kawasan sempadan China-Nepal minggu lalu.
Di Nepal, jumlah individu yang masih belum ditemui meningkat kepada 4,247 orang, manakala 903 mayat telah ditemukan setakat ini.
Menurut laporan media antarabangsa, pasukan penyelamat Nepal dengan bantuan pakar dari China dan India kini memberi tumpuan kepada usaha mengesan ratusan individu yang dipercayai masih terperangkap di dalam terowong projek hidroelektrik yang ditenggelami lumpur dan air.
Pegawai Nepal memaklumkan seramai 933 pekerja di 11 projek hidroelektrik dipercayai terperangkap, termasuk mereka yang berada di beberapa terowong di daerah Rasuwa dan Nuwakot yang terjejas teruk.
Pasukan Tentera Nepal menggunakan pelbagai kaedah termasuk jentera pengorek, lampu limpah dan letupan terkawal bagi membersihkan laluan yang dipenuhi lumpur serta batu.
Menurut Tentera Nepal, tiga mayat ditemukan selepas pasukan penyelamat berjaya memasuki dua terowong, manakala beberapa bahagian lain masih tertimbus dan terus diperiksa.
Bencana itu dikatakan berpunca daripada keruntuhan glasier, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), dengan perubahan iklim turut dikaitkan sebagai antara faktor yang meningkatkan risiko pencairan glasier dan kejadian seumpama itu.
Menteri Luar Nepal, Shisir Khanal berkata, negara berkenaan antara pihak yang paling terkesan akibat perubahan iklim dan kesannya terhadap kawasan pergunungan.
Sementara itu, keperluan bantuan terus meningkat apabila penempatan penduduk musnah, jalan raya terputus, loji janakuasa rosak dan puluhan jambatan dihanyutkan.
Dalam perkembangan sama, Nepal mula mengebumikan sebahagian mayat yang belum dikenal pasti selepas sampel DNA diambil bagi membolehkan proses pengecaman diteruskan dan jenazah diserahkan kepada keluarga pada masa akan datang.
Kerajaan Nepal turut memohon bantuan antarabangsa bagi mendapatkan lebih 1,000 unit peti sejuk mayat berikutan kapasiti rumah mayat yang semakin penuh.
Situasi itu turut menyukarkan keluarga mangsa yang masih menunggu berita mengenai ahli keluarga masing-masing, malah ada yang cuba mengenal pasti mangsa menerusi imej mayat yang dipaparkan di pusat komuniti.
Daripada jumlah individu yang masih hilang di Nepal, 592 merupakan warga asing, termasuk pelancong yang datang untuk aktiviti pendakian serta jemaah Hindu yang menuju ke kawasan suci Gunung Kailash di Tibet.
Di Tibet pula, operasi menyelamat turut berdepan cabaran besar berikutan bentuk muka bumi dan ancaman tasik besar yang terbentuk akibat runtuhan glasier serta timbunan serpihan.
Menurut pihak berkuasa China, 16 orang maut manakala 546 lagi masih hilang di Tibet.
Lebih 2,000 anggota terlibat dalam operasi menyelamat di kawasan berkenaan, namun pasukan penyelamat dilaporkan hanya berjaya mara kira-kira 285 meter menuju pusat bencana di Pelabuhan Gyirong pada Ahad.

