Bila bercakap tentang pencapaian rakyat Malaysia di peringkat antarabangsa, tentunya sukar untuk dihitung dengan sebelah tangan sahaja.
Setiap kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama individu yang mewakili negara, malah turut membuktikan keupayaan dan bakat Malaysia di mata dunia.
Manisnya sambutan kemerdekaan kali ini, Jalur Gemilang berkibar di Kaluga, Rusia, selepas pelajar dari Institut Kemahiran Belia dan Negara (IKBN) Wakaf Tapai, Muhammad Ammar Azli dinobatkan juara dalam Final Professional Skills Championship “Professionals” 2026 yang berlangsung pada 19-26 Ogos 2026.
Muhammad Ammar Dinobat Juara Welding Di Rusia
Difahamkan, Muhammad Ammar telah menerima jemputan daripada The Federal Institute for the Development of Vocational Education and Training (FIDVET), Persekutuan Rusia untuk menyertai kejohanan itu.
Jemputan ini sekaligus merupakan penghormatan kepada Muhammad Ammar dalam bidang mengimpal (welding) untuk ke pertandingan persahabatan bagi menimba pengalaman yang sangat berguna.
Selain mendapat tempat pertama, Muhammad Ammar turut menerima pengiktirafan Diploma Welding Technologies daripada FIDVET, Persekutuan Rusia.

Tidak hanya terhenti di situ, Muhammad Ammar difahamkan akan menyertai kejohanan Worldskills Shanghai 2026 yang bakal berlangsung di Shanghai pada 22-27 September ini.
Kejohanan antarabangsa terbesar di dunia ini akan menghimpunkan golongan muda, pemimpin industri, pendidikan dan kerajaan dari seluruh dunia bagi memajukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kejayaan Muhammad Ammar yang dikongsikan oleh Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) itu turut menarik perhatian warga maya yang tampil mengucapkan tahniah di atas pencapaian tersebut.
Warga maya tumpang bangga
“Alhamdulillah. Tahniah kepada pelajar, pengajar, IKBN Wakaf Tapai, BPKB dan KBS,” komen lady_anne87.
“Alhamdulillah, tahniah. Malaysia Boleh,” komen qalleysa pula.
“Hebat, nama Malaysia kini terkenal diseluruh pelusuk dunia,” puji ha_za2091 di atas pencapaian tersebut.
Meninjau keseluruhan komen yang ditinggalkan, rata-rata warga maya cukup berbangga dengan pencapaian yang diraih oleh Muhammad Ammar.
Malah, mereka juga turut mendoakan agar pelajar tersebut dikurniakan masa depan yang cerah dan merangkul lebih banyak kejayaan di masa akan datang.

